Ambil masa dua jam baca 135 pertuduhan

Ambil masa dua jam baca 135 pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 135 pertuduhan dibacakan terhadap seorang bekas kakitangan sebuah stesen televisyen berbayar di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Pertuduhan tersebut merupakan sebahagian daripada 743 dakwaan mengubah suai akaun pelanggan kepada akaun korporat tanpa kebenaran dalam sistem syarikat berkenaan yang dikenakan terhadap tertuduh, Nora Idayu Jaafar, 48.

Pada prosiding hari ini, Nora Idayu yang hadir bersama peguam belanya, Daniel Annamalai mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Suhaila Haron.

Prosiding bermula kira-kira pukul 12 tengah hari dan mengambil masa hampirj dua jam sebelum berakhir pada 1.45 petang, manakala pertuduhan dijadualkan untuk dibacakan pada esok dan lusa.

Pada ketika ini sebanyak 297 tuduhan telah dibacakan terhadap wanita itu sejak Jun lalu.

Pada 4 Jun lalu, Nora Idayu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 30 pertuduhan serupa, bagaimanapun tertangguh selepas wanita itu pengsan sebaik mahkamah merekodkan pengakuan tidak bersalahnya bagi pertuduhan ke-30.

Pada 26 Jun, mahkamah kemudian mengambil masa hampir dua jam untuk membacakan 132 pertuduhan tambahan sebelum mengarahkan tertuduh menjalani pemerhatian selama sebulan di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Ulu Kinta, Perak selepas dimaklumkan beliau mengalami gejala gangguan tekanan selepas trauma (PTSD).

Pada 22 September lalu, hospital berkenaan mengesahkan bahawa sepanjang tempoh kejadian antara 30 Oktober 2013 hingga 20 Ogos 2020, tertuduh berada dalam keadaan mental yang waras serta sedar akan sifat dan akibat perbuatannya.

Mengikut pertuduhan, Nora Idayu yang bertugas di Unit Sokongan Komersial, Jabatan Perniagaan syarikat penyiaran itu, didakwa melakukan pengubahsuaian data dengan menukar akaun pelanggan biasa kepada akaun korporat tanpa kebenaran.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Menara Icon, Jalan Tun Razak antara 30 Oktober 2013 hingga 20 Ogos 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 5(4) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd Rahman.

Hari ini, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan ikat jamin terhadap tertuduh setakat ini sebanyak RM20,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×