Kakitangan Trip.com Malaysia sumbang 30 unit basikal kepada komuniti orang asli - Utusan Malaysia

Kakitangan Trip.com Malaysia sumbang 30 unit basikal kepada komuniti orang asli

KAKITANGAN Trip.com bersama penduduk Kampung Simpai, Bebar Muadzam Shah, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kakitangan Trip.com Malaysia menyumbangkan 30 unit basikal baharu kepada komuniti Orang Asli di Pahang dalam usaha melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Lebih 65 orang kakitangan bekerjasama untuk memasang basikal yang dibeli dan aktiviti itu mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi syarikat untuk menyokong dan menaik taraf komuniti yang memerlukan di Malaysia.

Pengurus Besar Trip.com Malaysia, Stephane Thong berkata, sumbangan basikal itu bukan sahaja menjadi kaedah pengangkutan baharu, ia membuka peluang untuk warga di perkampungan tersebut mendapatkan pendidikan, pekerjaan dan keperluan asas.

“Inisiatif ini berteraskan misi global kami untuk membina masa depan lebih baik melalui perjalanan dan membawa impak positif yang berkekalan.

“Kami berbangga kerana dapat menyokong masyarakat Orang Asli dan berharap basikal yang disumbangkan akan meringankan beban harian bagi banyak keluarga,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, menerusi inisiatif itu Trip.com Malaysia mengukuhkan tekadnya untuk menjadi sebuah penyedia perkhidmatan perjalanan yang bertanggungjawab dengan melaksanakan program khidmat masyarakat.

“Program ini menyumbang kepada masyarakat secara umum serta memainkan peranan utama untuk membina masa depan yang lebih lestari,” katanya.

Inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Amal Great Heart, sebuah pertubuhan bukan keuntungan di Malaysia.

Menerusi kerjasama tersebut, sumbangan basikal diberikan kepada tiga buah perkampungan Orang Asli di Pahang iaitu Kampung Sawak Tebu Hitam, Kuala Rompin, Kampung Simpai, Bebar, Muadzam Shah dan Kampung Selengkong, Nenasi, Pekan.

Ketiga-tiga perkampungan tersebut terletak di kawasan pedalaman kira-kira 20 kilometer (km) hingga 35 km dari bandar terdekat dan mempunyai capaian terhad kepada kemudahan awam dan asas.

Basikal yang disediakan kepada penduduk kampung tersebut berupaya menjadi kaedah pengangkutan yang amat diperlukan untuk pergi ke sekolah, tempat bekerja seperti perjalanan ke kebun dan tempat memancing ikan serta untuk tujuan keperluan harian lain. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×