Op PUU: Tiada lagi amaran, saman serta-merta

Op PUU: Tiada lagi amaran, saman serta-merta

FADIL MARSUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada lagi amaran, sebaliknya tindakan saman akan terus dikenakan terhadap mana-mana pesalah lalu lintas selepas sebulan program advokasi yang dijalankan Polis Kuala Lumpur menerusi Op Patuh Undang-Undang (Op PUU).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tindakan penguatkuasaan penuh dengan mengeluarkan saman serta-merta kepada pengguna jalan raya yang degil dan ingkar akan bermula 1 Oktober ini.

Menurutnya, pihaknya tidak akan berkompromi memandangkan tempoh advokasi yang diberikan sebelum ini seolah-olah tidak memberi kesan mendalam kepada sebahagian besar masyarakat.

“Berdasarkan statistik dalam tempoh kempen advokasi yang bermula 6 September lalu hampir 70,000 notis advokasi dikeluarkan di kawasan-kawasan tumpuan sekitar ibu kota. 

“Jumlah ini membimbangkan kerana ia menunjukkan masih ramai yang sedar mereka melakukan kesalahan, tetapi masih ingkar dan sengaja melanggarnya,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di TV1, hari ini.

Menurut Fadil, antara kesalahan yang paling banyak dikesan dalam kalangan pengguna jalan raya adalah menyebabkan gangguan lalu lintas seperti parkir berlapis, berhenti di atas garisan putih dan lintasan pejalan kaki (zebra crossing).

Selain itu, ia turut melibatkan kesalahan melanggar lampu isyarat merah dan tidak memakai atau mengikat tali topi keledar dengan kemas.

“Penguatkuasaan ini bukan bersifat ‘hangat-hangat tahi ayam’ sebaliknya akan dijalankan secara berterusan bagi tempoh 24 jam sehari, sepanjang tahun di seluruh Kuala Lumpur.

“Semua anggota dari setiap daerah di Kuala Lumpur akan digerakkan. Operasi ini tidak akan ada tempoh akhir, ia akan berjalan sampai bila-bila sehingga kami melihat ada perubahan sikap yang positif dalam masyarakat,” jelasnya.

Mengulas mengenai pendekatan moden, Fadil berkata, pihaknya akan terus menggunakan kuasa media sosial untuk menularkan pesalah-pesalah lalu lintas bagi memberi kesedaran dan pengajaran kepada orang ramai.

“Kami akan gunakan semua platform media sosial semaksimum mungkin. Biar mesej sampai dan mereka yang salah ini tahu perbuatan mereka diperhatikan. Mungkin dengan cara ini, timbul rasa malu dan kesedaran,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×