Khaled Nordin ke Qatar, perkukuh kerjasama pertahanan

Khaled Nordin ke Qatar, perkukuh kerjasama pertahanan

MOHAMAD Khaled Nordin tiba di Doha, Qatar bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang pertahanan negara. - FACEBOOK KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Qatar bagi memperkukuh hubungan strategik dan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Doha, semalam dan disambut wakil rasmi Kerajaan Qatar, Komander Tentera Udara Emiri Qatar, Mejar Jeneral Mohamed Al Dosari; Duta Besar Malaysia ke Qatar, Faizal Razali serta Atase Pertahanan Malaysia di Ankara, Kolonel Edafi Daud

Mohamed Khaled berkata, lawatan ini bakal menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Qatar.

“MoU ini membuka lembaran baharu dalam memperkukuh hubungan strategik dan kerjasama pertahanan kedua-dua negara,” katanya dalam Facebook hari ini.

Turut bersama dalam lawatan itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Mohd. Yani Daud.

Mohamed Khaled berkata, beliau dijadualkan mengadakan kunjungan hormat terhadap Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan, Sheikh Saoud Abdulrahman Hassan Ali Al Thani.

“Kunjungan hormat ini akan diikuti mesyuarat dua hala, sebelum saya mengadakan lawatan rasmi ke Barzan Holdings, sebuah syarikat berkaitan industri pertahanan milik Kerajaan Qatar,” katanya.

Beliau berkata, lawatan itu turut menyaksikan pemeteraian MoU antara syarikat Malaysia, Ingress Corporation Bhd dengan Barzan Holdings yang akan disaksikan Menteri Pertahanan kedua-dua negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×