BUKIT MERTAJAM : Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang mewajibkan penggunaan video keselamatan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebagai prosedur untuk tetamu-tetamu hotel di negeri itu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Pulau Mutiara, tetapi, ia berpotensi untuk menjadi model nasional yang boleh diguna pakai oleh negeri-negeri lain selepas ini.
Kon Yeow berkata, dengan sokongan daripada JBPM negeri khususnya, kerajaan negeri juga mampu untuk membina satu rangka kerja keselamatan pelancong yang lebih sistematik di seluruh negara.
“Bayangkan jika setiap hotel di Malaysia mempunyai prosedur operasi standard (SOP) keselamatan air yang seragam dan setiap tetamu diwajibkan menonton video peringatan sebelum memasuki bilik mereka.
“Sudah tentu langkah ini akan membantu mengurangkan kadar insiden kemalangan air dengan ketara sekali gus meningkatkan tahap keyakinan pelancong terhadap keselamatan di negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian video untuk program ‘Hotel Guest Fire Safety Awareness’ di sebuah hotel di sini. Hadir sama Pengarah JBPM Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah serta Timbalan Ketua negeri, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin.
Berdasarkan statistik menyelamat berkaitan kes lemas oleh JBPM negeri di Pulau Pinang sepanjang tahun lepas, sebanyak 16 kes dilaporkan dengan 11 daripada kes tersebut melibatkan kematian.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini pula, sebanyak tujuh kes direkodkan dengan tujuh kematian setakat ini iaitu berkaitan kes lemas berhampiran pantai, dalam sungai serta dalam tali air.
Dalam pada itu, Mohamad Shoki memberitahu, pihaknya telah menyusun beberapa pelan jangka pendek bagi memastikan kejayaan inisiatif tersebut boleh dicapai termasuk menjalin kerjasama erat dengan pengusaha-pengusaha hotel untuk menayangkan video keselamatan itu secara konsisten kepada setiap tetamu mereka.
Selain itu, beliau berkata, kakitangan hotel juga akan diberi latihan berkaitan agar mereka bukan sahaja boleh menayangkan video tersebut, malah, berupaya untuk memberikan penerangan jika diperlukan dan sebagainya.
“Kami juga telah menyusun pelan jangka panjang yang menyeluruh seperti mengintegrasikan teknologi pintar dengan pelan pembangunan aplikasi mudah alih keselamatan air yang boleh diakses oleh semua pelancong,” katanya yang memaklumkan, penyeragaman modul keselamatan air di hotel juga dibuat agar semua hotel di Pulau Pinang mempunyai garis panduan yang seragam.-UTUSAN










