LANGKAWI: LANGKAWI: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli membuka kempen Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dengan bergaya apabila menyarung jersi putih selaku pelumba terbaik Asia di kedudukan kedua keseluruhan selepas perlumbaan peringkat pertama LTDL 2025.
Strategi berani TSG melakukan pemecahan awal dalam hujan membuahkan hasil apabila Aiman, juara kebangsaan dari Muar itu berjaya menguasai dua zon pecutan selain meraih tempat ketiga di satu lagi zon bagi mengutip mata maksimum.
“Memang dari awal pasukan arahkan saya sertai breakaway. Alhamdulillah semuanya menjadi, dapat bonus mata dan akhirnya jersi Asia. Ia satu permulaan yang baik buat saya dan pasukan,” katanya yang jelas teruja dengan pencapaian tersebut.
Namun, Aiman sedar perjalanan masih panjang, apatah lagi pasukan gergasi WorldTeam dilihat belum mengerah sepenuh kekuatan.
“Bila mereka mula kerah kudrat, itu baru cabaran sebenar. Tapi saya tetap percaya masih ada peluang untuk buru kemenangan peringkat, Insya-Allah,” katanya.
Selepas kejayaan sulung itu, Aiman kini mengalihkan fokus kepada peringkat ketiga dari Gerik ke Pasir Puteh yang dianggap penentu penting dalam perebutan jersi Asia.
“Esok (hari ini) saya jangka penamat beramai-ramai, jadi saya akan bantu pasukan dan simpan tenaga untuk Gerik. Itu sasaran utama saya,” katanya. – UTUSAN










