Malucelli pamer belang hari pertama LTdL 2025

Malucelli pamer belang hari pertama LTdL 2025

Penganjuran LTdL 2025 mendpat pujian UCI - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Pelumba pasukan XDS Astana Team, Matteo Malucelli membuktikan kehebatan apabila menawan peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 selepas menewaskan pencabar utama dalam penamat beramai-ramai sejauh 96.7 kilometer mengelilingi pulau peranginan ini, semalam.

Pelumba Itali berusia 31 tahun itu, yang juga Raja Pecut edisi lalu, melintasi garisan penamat dengan catatan 2 jam 22 saat, mengetepikan cabaran Erlend Blikra (Uno X Mobility) dan wakil Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Little Gorilla’.

Kejayaan itu melayakkan Malucelli menyarung dua jersi iaitu hijau selaku pendahulu keseluruhan serta jingga (Raja Pecut) selepas mengumpul 15 mata.

“Cuaca hari ini cukup baik. Saya tidak ulang kesilapan tahun-tahun lalu dan mula lakukan henjutan agak lambat sebelum garisan penamat.

“Menang di sini pada peringkat pertama selepas menutup saingan dengan kemenangan tahun lalu cukup istimewa buat saya,” katanya yang juga juara Tour Bulgaria 2024.

Blikra menghuni kedudukan kedua jersi Oren dengan 12 mata manakala De Kleijn di tangga ketiga dengan sembilan mata.

Dalam saingan lain, Ben Carman (St George Continental Cycling Team) menyarung jersi Raja Bukit selepas mengumpul dua mata, meninggalkan pelumba negara Muhammad Syawal Mazlin (Malaysia Pro Cycling) di tangga kedua dengan satu mata.

Sementara itu,Muhammad Nur Aiman Rosli (Terengganu Cycling Team – TSG) dinobatkan pelumba terbaik Asia selepas mengetepikan George Matsui (Aisan Racing Team).

Rakan sepasukan, Harrif Saleh atau lebih mesra digelar ‘Mamat’, muncul pelumba terbaik ASEAN peringkat satu dalam kategori baharu sempena kepengerusian ASEAN ke-47.

Perlumbaan berstatus 2.Pro itu bersambung hari ini dengan peringkat kedua dari Padang Besar ke Kepala Batas sejauh 166.1km yang menawarkan tiga zon pecutan di Jitra, Pendang dan Sungai Petani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×