PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menganjurkan Program Eksplorasi Antirasuah Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) 2025 peringkat negeri sebagai usaha mendidik golongan muda mengenai bahaya jenayah rasuah.
Timbalan Pesuruhjaya SPRM Negeri Selangor, Mohd. Azwan Ramli berkata, penglibatan mahasiswa dalam program berkonsepkan eksplorasi itu membuktikan generasi muda mempunyai semangat tinggi untuk bersama-sama memerangi rasuah.
Menurutnya, program yang berlangsung di pekarangan SPRM Selangor itu memberi pendedahan kepada mahasiswa daripada pelbagai institusi pengajian tinggi mengenai proses siasatan serta peranan agensi itu dalam membanteras gejala rasuah.
“Mahasiswa adalah aset penting negara, mereka bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan. Pendedahan awal tentang jenayah rasuah bukan sahaja membina kefahaman tetapi juga menanam nilai integriti yang kukuh dalam diri mereka.
“Kita mahu mereka sedar bahawa rasuah adalah musuh nombor satu negara yang boleh meruntuhkan sistem pentadbiran, ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, melalui aktiviti berbentuk fizikal, eksplorasi dan interaktif, mahasiswa dapat menghayati mesej antirasuah secara lebih dekat berbanding ceramah tradisional.
Jelasnya, seramai 112 pelajar daripada 13 institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) menyertai program berkenaan yang dibahagikan kepada 10 kumpulan bagi menjalani pelbagai aktiviti luar.
“Para pelajar telah dibahagikan kepada 10 kumpulan untuk melakukan pelbagai aktiviti luar. Program dimulakan dengan sesi kecergasan senam robik dan diikuti aktiviti eksplorasi antirasuah di persekitaran kawasan SPRM Negeri Selangor,” katanya.
Tambahnya, selain pengisian ilmu, peserta juga diberi peluang melihat kemudahan lokap, bilik kawad cam dan bilik rakaman video bagi memahami prosedur siasatan yang dijalankan oleh SPRM.
“Pendekatan secara hands-on ini membantu mahasiswa memahami cabaran sebenar yang dihadapi SPRM sekali gus menginsafkan mereka bahawa rasuah memberi kesan buruk kepada semua lapisan masyarakat,” ujarnya.
Program itu turut menampilkan perkongsian ilmu oleh Ketua Siasatan Negeri, Penolong Kanan Pesuruhjaya Mohd. Raylan Mohd Isa bertajuk Rasuah Musuh Utama Negara serta sesi kuiz interaktif yang menguji kefahaman peserta mengenai kesalahan rasuah.
“Ilmu tersebut adalah untuk menjelaskan usaha dan cabaran SPRM di dalam memerangi jenayah rasuah serta kesan akibat perbuatan rasuah bagi memberi kesedaran dan pendedahan kepada para pelajar,” katanya. – UTUSAN










