SPRM kongsi maklumat, operasi bersama AKPS basmi rasuah

SPRM kongsi maklumat, operasi bersama AKPS basmi rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUNCAK ALAM: Perkongsian maklumat akan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi memperkukuh usaha membanteras salah laku serta rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kerjasama itu adalah sebahagian daripada sokongan penuh SPRM terhadap kepimpinan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam melaksanakan pembersihan dalaman dan pemerkasaan integriti agensi tersebut.

Menurutnya, AKPS yang merangkumi beberapa agensi utama termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi lain memerlukan penyelarasan rapi dari aspek penguatkuasaan.

“Kami menghormati hala tuju yang diambil Datuk Seri Mohd Shuhaily dalam memastikan integriti AKPS terus diperkukuh.

“SPRM juga telah mengadakan beberapa perbincangan bagaimana kami boleh membantu beliau bagi melaksanakan pembersihan dalaman memandangkan beliau mengambil alih ramai pegawai dengan latar belakang serta sikap yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program MACC–UiTM Inspira 2025: Hari Integriti dan Kepimpinan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di sini hari ini.

Ahad lalu, seorang pegawai AKPS ditahan di Johor Bahru  bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penglibatan dalam kegiatan pasport terbang.

Penahanan itu dipercayai sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa untuk membanteras rasuah serta menghalang cubaan kemasukan warga asing secara tidak sah.

‘Pasport terbang’ merujuk kepada aktiviti pemilikan atau pemindahan tanpa kebenaran beberapa pasport asing yang digunakan untuk memintas prosedur imigresen di pintu masuk negara.

Dalam serbuan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), pegawai terbabit dipercayai memiliki lapan pasport asing iaitu enam pasport China, satu pasport Indonesia dan satu pasport Vietnam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN