Tubuh arwah terasa ringan seperti kertas - Muhammad Arsyad

Tubuh arwah terasa ringan seperti kertas – Muhammad Arsyad

MUHAMMAD Arsyad Jahaya yang terjun ke dalam lubang kumbahan bagi menyelamatkan seorang murid lelaki berusia sembilan tahun yang maut ketika kejohanan olahraga di sebuah sekolah di Lenggeng, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: “Saat saya angkat tubuhnya, terasa ringan seperti sekeping kertas,” kata Muhammad Arsyad Jahaya, 35, penyelam yang terjun ke dalam lubang kumbahan bagi menyelamatkan seorang murid lelaki berusia sembilan tahun yang maut ketika kejohanan olahraga di sebuah sekolah di Lenggeng, semalam.

Muhammad Arsyad, yang hadir sebagai penjaga, mengakui kejadian itu meninggalkan kesan emosi mendalam sehingga membuatnya sebak setiap kali mengingati detik berkenaan.

“Ketika guru panggil saya, suasana sudah kecoh. Ada kata nampak tangan budak tergapai. Saya berdiri di tepi lubang, cuba untuk pastikan betul ke ada budak jatuh. Ini lubang tahu. Ketika itu hati berbelah bahagi, tetapi rasa bersalah makin kuat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bomba memang sudah dihubungi, tapi dalam hati saya terdetik, kalau tunggu mungkin terlambat, kenapa saya tidak turun dulu. Saya fikir kalau saya turun lebih awal, mungkin ada peluang selamatkan dia,” katanya ketika dihubungi.

Ketika menceritakan situasi cemas itu, katanya, keadaan dalam lubang kumbahan itu sangat gelap malah kotor. 

“Apabila saya mula masuk, kaki langsung tidak jejak dasar kerana tinggi saya kira-kira 173 sentimeter. 

“Gelap, tak nampak apa-apa. Saya kemudiannya meminta orang hulurkan kayu untuk tengok berapa jauh lagi dasar dan apabila ‘kacau’ dan saya terkena sesuatu, tiba-tiba topi muncul dan kemudian sebelah kasut mangsa pula. Masa itu hati saya kata dia memang ada di bawah.

“Waktu itu saya dah ‘target’ dan mengambil keputusan untuk terus selam dan akhirnya terasa bahunya. Saya peluk bawah ketiaknya, tolak dia terus naik ke atas, tubuhnya terasa ringan, macam kertas,” katanya sebak.

Muhammad Arsyad yang baru pulih daripada kecederaan tulang rusuk akibat kemalangan bulan lalu berkata, dia pun hairan kerana mampu bertahan di dalam kumbahan itu sekitar lima hingga 10 minit.

“Kalau ikut logik, saya masih sakit. Tapi masa itu saya tak rasa apa-apa, hanya fikir budak ini mesti diselamatkan. Bila fikir balik, mungkin malaikat yang tolong kuatkan saya,” katanya.

Dia pada masa sama menegaskan, tragedi itu tidak wajar dijadikan medan menyalahkan guru atau pihak sekolah.

“Bangunan sekolah masih baharu. Sepatutnya keselamatan struktur diperiksa pihak berwajib, bukan diletakkan di bahu guru. Cikgu-cikgu pun panik, mereka segera cari sesiapa yang boleh tolong, itu sebab mereka panggil saya. Netizen tolong berhenti salahkan sekolah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Katanya, setakat ini seramai lapan orang saksi sudah dipanggil untuk dirakam percakapan dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini