Pemimpin protes Nepal bertanding pilihan raya umum Mac depan - Utusan Malaysia

Pemimpin protes Nepal bertanding pilihan raya umum Mac depan

SUDAN GURUNG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATHMANDU: Pemimpin protes belia yang baru-baru ini menggulingkan kerajaan Nepal dalam tempoh hanya beberapa hari mengumumkan DIA akan bertanding pada pilihan raya umum negara (PRU) itu Mac depan.

Sudan Gurung, 36, yang muncul sebagai wajah utama kebangkitan rakyat berasaskan gerakan akar umbi Gen Z berkata, pergerakannya akan terus berjuang hingga ke akhir bagi membina kerajaan rakyat.

Dalam temu bual eksklusif bersama Start Here, Gurung menjelaskan kumpulannya kini menggerakkan sokongan di seluruh negara untuk membentuk sebuah gerakan perubahan, bukannya parti politik tradisional.

“Mereka telah menyeret kami ke dalam politik.

“Jika itu yang mereka mahukan, maka itulah yang akan mereka dapat. Kami akan bertanding pada pilihan raya akan datang kerana kami tidak akan berundur lagi,” katanya.

Protes besar-besaran itu tercetus selepas kerajaan menyekat platform media sosial termasuk Facebook, X dan YouTube, dengan alasan syarikat-syarikat tersebut gagal berdaftar dan tunduk kepada kawal selia kerajaan.

Namun, ia segera berkembang menjadi gerakan lebih luas, dipacu kemarahan terhadap dakwaan rasuah, kekerasan negara dan budaya impunitas. Puluhan anak muda terbunuh manakala ribuan lagi cedera dalam demonstrasi tersebut.

Gurung berkata pergerakan itu kini bersedia untuk mentadbir dengan sukarelawan telah menubuhkan jawatankuasa undang-undang dan komunikasi serta mengumpulkan tuntutan dasar dari seluruh negara melalui platform seperti Discord dan Instagram yang pernah digunakan ketika protes berlangsung.

Dia menegaskan, pasukannya berusaha memastikan setiap suara rakyat Nepal akan didengari. Gurung dijangka tidak akan mendaftar sebagai calon bebas, sebaliknya bertanding bersama kumpulannya.

“Jika saya hanya bertanding sebagai calon bebas, kita tidak akan memiliki kekuatan belia ini. Bersama-sama, kita lebih kuat,” katanya.

Selain agenda antirasuah, gerakan tersebut turut berikrar membawa agenda lebih luas termasuk memperkukuh sektor pelancongan Nepal serta mempererat hubungan dengan negara jiran, India dan China, tanpa campur tangan kuasa luar. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×