Kemasukan pendatang punca populasi UK mencecah 69.3 juta orang - Utusan Malaysia

Kemasukan pendatang punca populasi UK mencecah 69.3 juta orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Populasi United Kingdom (UK) meningkat kepada 69.3 juta orang, didorong terutamanya oleh kemasukan pendatang, menurut data rasmi Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS) pada Ahad.

Antara pertengahan 2023 hingga pertengahan 2024, jumlah penduduk bertambah sebanyak 755,300 iaitu kenaikan tahunan kedua terbesar sejak 1950, hanya di belakang lonjakan 890,049 yang dicatat tahun sebelumnya.

England merekodkan pertumbuhan tertinggi pada kadar 1.2 peratus, diikuti Scotland (0.7 peratus), Wales (0.6 peratus) dan Ireland Utara (0.4 peratus).

“Populasi UK meningkat setiap tahun sejak pertengahan 1982. Kadar pertumbuhan dalam beberapa tahun kebelakangan ini lebih tinggi, dan kenaikan sehingga pertengahan 2024 adalah yang kedua terbesar dalam tempoh lebih 75 tahun .

“Imigresen antarabangsa bersih kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, selaras dengan trend sejak awal abad ini,” kata Nigel Henretty daripada ONS

Sepanjang tempoh tersebut, jumlah kelahiran melebihi kematian dan menambah sedikit kepada pertumbuhan penduduk selepas mencatat angka negatif tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, kelahiran sebanyak 662,148 adalah yang terendah dalam sekurang-kurangnya 42 tahun, menandakan trend penurunan sejak krisis kewangan global.

Jumlah kematian pula 645,909 iaitu terendah sejak pertengahan 2019, sebelum pandemik Covid-19. Secara keseluruhan, perubahan semula jadi menambah 16,239 orang kepada populasi.

ONS menegaskan faktor terbesar ialah kemasukan bersih jangka panjang pendatang antarabangsa, yang menyumbang 738,700 orang.

Dianggarkan 1,235,254 pendatang tiba di UK dalam 12 bulan hingga Jun 2024, manakala 496,536 penduduk meninggalkan negara itu.

Data ini dikeluarkan ketika Perdana Menteri Keir Starmer berusaha menunjukkan komitmennya untuk mengetatkan kawalan ke atas kemasukan pendatang. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×