SICILY: Sebuah flotila bantuan kemanusiaan yang dinamakan “Thousand Madleens” memulakan pelayaran dari pelabuhan San Giovanni Li Cuti di Sicily menuju ke Gaza, sebagai reaksi terhadap serangan dron terhadap konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) awal minggu ini.
Misi ini merupakan inisiatif bersama oleh gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG), melibatkan 10 buah kapal yang membawa hampir 70 sukarelawan dari lebih 20 negara.
Antara peserta termasuk ahli-ahli Parlimen dari Belgium, Perancis, Ireland, Sepanyol, Denmark, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).
Flotila ini membawa pelbagai bekalan penting seperti ubat-ubatan, makanan kering dan peralatan sekolah selain tujuan kemanusiaan, pelayaran ini juga bertujuan mencabar sekatan laut yang dikenakan oleh Israel sejak 2007.
Pelancaran flotila Thousand Madleens dilakukan hanya beberapa hari selepas serangan dron tidak dikenali mengenai konvoi Sumud di perairan berhampiran Greece, yang menyebabkan kerosakan kepada beberapa kapal dan membangkitkan kebimbangan antarabangsa mengenai keselamatan misi bantuan.
Walaupun Israel tidak mengesahkan penglibatan dalam insiden tersebut, para aktivis menganggapnya sebagai cubaan untuk menggagalkan penghantaran bantuan ke Gaza.
Dalam kenyataan bersama, para penganjur menegaskan bahawa setiap kapal yang berlayar merupakan satu cabaran terbuka terhadap sekatan Israel serta lambang solidariti masyarakat antarabangsa terhadap rakyat Palestin.
Mereka menekankan bahawa misi ini bukan semata-mata usaha amal, tetapi sebahagian daripada perjuangan untuk kebebasan dan maruah rakyat Gaza.
Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto, mengumumkan tentera laut Itali akan menghantar sebuah kapal frigat ke kawasan tersebut, namun tidak akan menjalankan tugas pengiring.
Beliau turut menggesa agar flotila tersebut mengelak dari mengambil risiko melanggar sekatan demi keselamatan semua pihak yang terlibat.
Flotila Thousand Madleens dijangka akan bergabung dengan kapal-kapal dari konvoi Sumud yang masih dalam perjalanan ke Gaza. Misi ini berlangsung dalam suasana diplomatik yang semakin tegang, di tengah-tengah desakan antarabangsa supaya Israel membuka laluan bantuan dan menghentikan serangan berterusan ke atas Gaza, yang telah meragut puluhan ribu nyawa sejak Oktober 2023.










