Sudah banyak kali aku dengar cerita yang kurang enak tentang satu selekoh tajam yang terletak di hujung kampung. Kata mereka selekoh tersebut bukan sekadar laluan biasa tapi ada penunggunya, sebab itulah setiap tahun ada sahaja mangsa jalan raya yang terkorban di situ.
Itulah ayat yang selalu aku dengar daripada mulut orang kampung. Rata-ratanya percaya dengan perkara-perkara tahyul yang langsung tidak masuk akal. Aku pula memang jenis yang tidak ambil peduli, masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.
Aku tidak nafikan selekoh tersebut memang tajam dan berbahaya. Jika pengguna jalan raya tak biasa melaluinya, memang senang terbabas. Sebab itulah ada orang yang melabelkannya sebagai ‘selekoh maut’. Angka korban di situ juga boleh tahan ramainya, dan kebanyakannya orang luar yang pertama kali melalui jalan tersebut.
Bila sudah banyak berlaku korban di situ mulalah timbul pelbagai cerita negatif dan menakutkan. Ada yang kata pernah terjumpa pontianak serta makhluk menyeramkan sedang merangkak menjilat sisa darah di jalan raya.
Bukan itu sahaja, Hashim anak bilal Seman juga bercerita pernah terserempak dengan makhluk bermata merah dan berbulu lebat sedang berdiri di tepi selekoh tersebut, dan disebabkan terlampau takut dia gagal mengawal motosikalnya dan terus melanggar beberapa batang pokok pisang yang ada di situ.
Kazim anak kadi Yahya lain pula ceritanya. Katanya, selepas dia pulang dari menonton kugiran di pekan kira-kira jam 1 pagi dia melalui selekoh tersebut, namun tiba-tiba hidungnya menangkap bau yang cukup busuk, apa lagi terus matanya melilau lihat sekeliling kalau-kalau ada bangkai haiwan di situ.
Dan ketika itulah matanya terlihat satu lembaga wanita berambut panjang, berpakaian serba putih dengan mata merah menyala sedang memandang tepat ke arahnya sambil mengilai panjang.
Apa lagi, terus dia pecut motosikalnya sampai ke rumah sehingga nyaris dia hendak rempuh reban ayam.
“Kau jangan balik lewat malam sangat Man, karang tak pasal-pasal pula kau jumpa entah apa hantu di selekoh tu,” kata emak sebelum aku melangkah keluar rumah malam itu.
Aku hanya tersengih tanpa jawapan. Bukan sekali dua emak berpesan begitu, malah rasanya telinga aku sudah lali dengar ‘ceramah’ percumanya. Tapi aku buat tidak tahu sahaja, malas aku hendak bersoal jawab dengannya.
“Alah, Man keluar sekejap saja mak lepak dengan kawan-kawan di pekan itu, lepas itu Man baliklah,” jawabku sambil menghidupkan enjin motosikal.
Ibu hanya menggelengkan kepala melihat gelagatku. Rasanya dia pun sudah naik muak menasihati anak sulungnya ini yang sentiasa tidak ‘makan saman’. – UTUSAN
bersambung











