Tiada sesiapa pun mahu digelar obes kerana ia bukan saja menjejaskan penampilan diri tetapi banyak lagi kesan sampingan khususnya ke atas kesihatan diri seperti penyakit kronik yang boleh membawa maut.
Namun niat sahaja tidak mencukupi untuk keluar daripada obesiti atau berat badan berlebihan, sebaliknya memerlukan kesungguhan dalam mencapai berat badan ideal dan bukan sekadar diet serta bersenam.
Justeru, sebelum sebarang rawatan atau intervensi dimulakan, kesediaan pesakit untuk berubah amat perlu. Berdasarkan pengalaman perubatan dan kajian klinikal, kejayaan jangka panjang amat bergantung kepada tahap komitmen yang sanggup diberikan oleh pesakit.
Pakar Perubatan Sukan, Hospital Melaka dan Aktivis I-Medik Cawangan Melaka, Dr. Nur Faridah Zulkhaini berkata, kerangka Transtheoretical Model of Change dapat membantu untuk memahami kesediaan pesakit untuk berubah.

“Kerangka ini membahagikan proses perubahan kepada lima fasa yang merangkumi, belum berfikir untuk berubah (pre-contemplation), mempertimbangkan perubahan (contemplation), bersedia dan merancang (preparation), melaksanakan perubahan (action) serta mengekalkan perubahan dalam jangka masa panjang (maintenance), dengan tidak mengabaikan kemungkinan pesakit boleh kembali semula ke tabiat asal yang tidak sihat (relapse).
“Dengan mengenal pasti fasa ini, rawatan dan intervensi boleh disesuaikan mengikut keperluan pesakit bagi meningkatkan keberkesanan. Pesakit di fasa pre-contemplation, memerlukan pendidikan dan kesedaran terlebih dahulu, manakala mereka di fasa bertindak memerlukan sokongan, pemantauan dan motivasi berterusan untuk mengekalkan momentum,” katanya.
Dr. Nur Faridah berkata, hakikatnya, mengetahui apa yang perlu dimakan atau jenis senaman yang sesuai sahaja tidak menjamin perubahan berat badan yang berpanjangan.
Cabaran terbesar adalah mengubah cara fikir dan tabiat harian yang sudah terbentuk sekian lama. Maka, di sinilah pendekatan psikologi menjadi komponen penting dalam pengurusan obesiti.
Katanya lagi, salah satu kaedah yang terbukti berkesan adalah Terapi Kognitif Tingkah Laku (Cognitive Behavioural Therapy, CBT). Pendekatan ini membantu pesakit mengenal pasti corak pemikiran negatif seperti – “Saya gagal kerana tersasar dari diet” dan menggantikannya dengan pemikiran yang lebih membina seperti – “Tersasar sekali tidak bermakna saya harus berhenti berusaha”.
“Kajian meta-analisis menunjukkan CBT bersama terapi diet dapat menurunkan berat badan sehingga 15 peratus dalam tempoh 12 bulan, lebih berkesan daripada rawatan biasa. Selain itu, pendekatan mindful eating atau tabiat pemakanan dengan kesedaran semakin mendapat perhatian kerana mampu mengurangkan tabiat makan mengikut emosi.
“Teknik ini mengajak pesakit memberi perhatian penuh semasa makan, menilai rasa lapar sebenar, menikmati rasa dan tekstur makanan serta menghargai pengalaman semasa menikmati makanan,” katanya.
Kajian tempatan menunjukkan modul mindful eating ini berupaya mengawal emosi dan mempengaruhi tabiat makan secara positif, seperti yang dibuktikan dalam beberapa kajian intervensi perubahan tingkah laku pemakanan dalam kalangan dewasa berlebihan berat badan di Malaysia.
Contohnya, kajian impak Program Fit, Eat, Active, Training (F.E.A.T) oleh Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menggabungkan pendidikan pemakanan dan aktiviti fizikal menunjukkan keberkesanan dalam memperbaiki tabiat makan dan menurunkan berat badan secara signifikan.
Terapi penerimaan dan komitmen
Satu lagi pendekatan yang semakin digunakan adalah Terapi Penerimaan dan Komitmen (Acceptance and Commitment Therapy, ACT). ACT melatih pesakit untuk menerima ketidakselesaan fizikal dan emosi seperti rasa lapar atau mengidam makanan manis, sambil tetap komited melakukan tindakan yang selari dengan nilai yang mereka hargai. Sebagai contoh, menjadi lebih sihat demi anak-anak.
“Walaupun kesan ACT terhadap penurunan berat badan adalah sederhana, ia tetap memberi impak positif terhadap kesejahteraan mental dan kualiti hidup pesakit.
“Kemajuan teknologi turut membuka ruang baharu dalam pengurusan obesiti. Aplikasi pemantauan diet dan aktiviti fizikal memudahkan pesakit merekod data harian dan ini terbukti berkait rapat dengan kejayaan jangka panjang,” katanya.
Katanya lagi, konsistensi dalam merekod, walaupun tidak sempurna, memberi kesedaran kendiri yang tinggi dan mendorong pesakit untuk membuat pilihan yang lebih sihat setiap hari.
“Mengurus obesiti bukanlah sekadar soal disiplin atau kekuatan kehendak tetapi turut memerlukan kemahiran mengurus minda dan tingkah laku dalam persekitaran yang menjurus kepada aktiviti pemakanan yang tidak sihat.
“Perubahan kecil yang konsisten seperti mengurangkan minuman bergula secara berperingkat, menambah satu hidangan sayur setiap hari atau berjalan kaki 20 minit setiap pagi, jika dilakukan berterusan, boleh membawa perbezaan besar dalam jangka masa panjang,” katanya.
Kadar obesiti semakin meningkat
Masalah obesiti di Malaysia kini semakin membimbangkan. Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, sebanyak 54.4 peratus dewasa di negara ini mengalami berat badan berlebihan (overweight) dan obesiti. Angka ini meningkat dengan ketara berbanding 50.1 peratus pada tahun 2019.
Situasi ini bukan sahaja mengancam angka statistik tetapi juga meningkatkan risiko penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, dan kolesterol tinggi yang sering berlaku serentak.
Gaya hidup tidak aktif, pola pemakanan yang tinggi gula dan lemak, serta akses mudah kepada minuman bergula dan makanan segera menjadi antara pendorong utama.
Di Malaysia, purata penggunaan gula harian rakyat Malaysia adalah 26 sudu teh iaitu hampir empat kali ganda lebih tinggi berbanding saranan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu tujuh sudu teh sehari.
Faktor sosiodemografi seperti umur pertengahan, status perkahwinan dan latar etnik tertentu juga berperanan, selain pengaruh persekitaran bandar yang ‘obesogenik’ – iaitu persekitaran yang secara tidak langsung menggalakkan penambahan berat badan.
“Dalam komuniti berpendapatan rendah, kekangan kos, masa dan akses kepada makanan berkhasiat menjadikan amalan gaya hidup sihat semakin mencabar. Faktor psikologi seperti tekanan dan stres juga memainkan peranan besar dalam mendorong tabiat makan mengikut emosi atau comfort eating,” katanya. – UTUSAN










