Dua sahabat 20 tahun panjat 2,000 pokok petai

Dua sahabat 20 tahun panjat 2,000 pokok petai

NURI Ahmad (kiri) dan Rolin Sam berpengalaman lebih 20 tahun memanjat pokok petai di sekitar Kampar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Pengalaman dan tunjuk ajar orang lama menjadi rahsia bagi seorang pemanjat pokok petai, Nuri Ahmad, 53, yang berasal dari Kampung Batu Berangkai, di sini.

Lebih dua dekad, lelaki bujang daripada masyarakat Orang Asli suku Semai itu sudah menawan lebih 2,000 pokok petai yang menjulang tinggi di kawasan berbukit.

Bagi komuniti setempat, pemanjat petai bukan sekadar tukang panjat, sebaliknya dikenali sebagai ‘juruterbang’ atau ‘driver’ kerana kemahiran luar biasa yang dimiliki.

Mereka mampu menawan pokok petai setinggi lebih 30 meter, tumbuh di cerun curam sehingga 1,000 meter dari aras laut.

“Sudah berpuluh tahun Orang Asli di Kampar mencari rezeki dengan cara ini. Kami panjat, kutip dan jual petai untuk menyara keluarga. Kebanyakan pokok pula sudah berusia ratusan tahun, tinggi menjulang dan mencabar keberanian,” katanya.

Nuri yang berpengalaman luas mengakui tidak pernah terjatuh atau cedera parah sepanjang kerjayanya. Tiada petua pelik, katanya, sekadar cukup rehat dan tidur.

Musim petai bermula Ogos hingga Disember, menjadi waktu limpahan rezeki buat mereka.

Setiap hari, dia mampu memanjat empat hingga lima pokok di sekitar Kampung Batu Karang, Taman Kampar Jaya dan kampungnya sendiri.

Aktiviti bermula seawal jam 7 pagi, bersama empat hingga lima rakan yang terdiri daripada pemanjat, pengutip dan pembawa hasil. Petai yang diperoleh kemudiannya dijual di Stesen Bas Lama Kampar, lokasi tumpuan peraih.

Namun, cabaran bukan kecil. Sengatan lebah, tebuan dan penyengat menjadi risiko utama. “Badan ini sudah ibarat kebal. Serangga pun mungkin tahu kita sekadar cari rezeki. Kalau disengat pun, ada daun herba untuk rawat luka,” katanya.

Malah, menurut cerita orang lama, dahulu mereka pernah terserempak dengan harimau belang dan kumbang di hutan, tetapi kini haiwan buas itu hampir tiada.

Rakannya, Rolin Sam, 43, yang juga berpengalaman 20 tahun, menambah ancaman ular hijau berbisa di pokok petai lebih digeruni.

“Saya tidak pasti spesiesnya, tapi cukup berhati-hati. Kalau musim hujan atau angin kuat, kami tidak panjat kerana batang pokok licin, bahaya terjatuh,” katanya.

Bagi Nuri dan Rolin, musim petai selama lima bulan mampu memberi pulangan antara RM800 hingga RM4,000 sebulan bergantung pada hasil kutipan. Harga pasaran pula sekitar RM10 untuk tiga papan, bergantung pada kualiti.

Petai dari Kampar istimewa kerana isi tebal, rangup, kurang berulat dan tidak terlalu pedar menyebabkan pembeli setia tetap mencarinya.

Bagi mereka berdua, memanjat petai bukan sekadar kerja sebaliknya warisan hidup masyarakat Semai yang diwarisi turun-temurun, penuh cabaran, keberanian dan rezeki dari hutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×