Banjir monsun di Thailand ragut tujuh nyawa

Banjir monsun di Thailand ragut tujuh nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Angka korban akibat banjir yang dicetuskan oleh hujan monsun lebat di Thailand meningkat kepada tujuh orang, menurut pihak berkuasa pada Sabtu, ketika operasi bantuan masih diteruskan.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana dalam satu kenyataan berkata, lebih 260,000 penduduk di beberapa wilayah sepanjang Sungai Chao Phraya terjejas minggu ini.

Agensi bencana negara itu sebelum ini melaporkan empat kematian di kawasan tengah Thailand pada Selasa, namun jumlah itu kini disemak, naik kepada tujuh orang.

Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul melawat wilayah Ayutthaya pada Sabtu, kawasan paling teruk terjejas dalam satu lawatan pertamanya sejak memegang jawatan.

Ditemani pegawai agensi bencana, beliau mengarahkan pihak berkuasa mengagihkan kit bantuan, membina benteng pasir dan memantau kawasan berisiko tanah runtuh.

“Kami ada pasukan penuh untuk membantu meringankan kesusahan rakyat dan kami akan bertindak balas terhadap keperluan anda,” katanya kepada penduduk.

Thailand tidak terjejas oleh Taufan Tropika Bualoi yang melanda Filipina awal minggu ini, namun jabatan meteorologi memberi amaran hujan lebat dijangka dalam beberapa hari akan datang.

Negara itu sering mengalami hujan lebat dari Jun hingga September, tetapi pakar berkata, perubahan iklim akibat manusia memburukkan cuaca ekstrem, menjadikan keadaan semakin tidak menentu.

Bulan lalu di utara Thailand, lima orang terbunuh dan 15 cedera dalam kejadian tanah runtuh dan banjir akibat Taufan Kajiki.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×