Lubnan kecam Hezbollah pamer imej pemimpin di mercu tanda Beirut

Lubnan kecam Hezbollah pamer imej pemimpin di mercu tanda Beirut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Kerajaan Lubnan berikrar akan mengambil tindakan undang-undang segera selepas Hezbollah secara terbuka mencabar larangan rasmi dengan mempamerkan imej pemimpin mereka di Batu Raouche, mercu tanda terkenal Beirut, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat mengenai kewibawaan negara dan menambahkan lagi ketegangan politik.

Majlis Menteri-Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Nawaf Salam di Grand Serail semalam mengecam tindakan itu sebagai pelanggaran jelas terhadap permit yang diberikan dan menegaskan langkah perlu akan diambil bagi mempertahankan maruah serta keputusan rasmi negara.

“Kenyataan dasar kerajaan menekankan keperluan meluaskan kedaulatan negara ke seluruh wilayah dengan kekuatan sendiri, serta menguatkuasakan undang-undang tanpa pengecualian. Semua rakyat adalah sama rata di sisi undang-undang,” kata kenyataan itu lagi.

Mesyuarat tergempar itu turut disertai oleh Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kehakiman, serta wakil Hezbollah dalam kerajaan; Menteri Buruh, Mohammed Haidar, dan Menteri Kewangan, Yassin Jaber yang mewakili Gerakan Amal.

Tindakan Hezbollah mencetuskan perbalahan selepas imej bekas Setiausaha Agung, Hassan Nasrallah dan Hashem Safieddine dipancarkan di Batu Raouche pada Khamis lalu, meskipun pihak berkuasa melarang mercu tanda negara digunakan untuk tujuan propaganda politik.

Susulan itu, penyokong Hezbollah melancarkan serangan kata-kata terhadap Perdana Menteri di media sosial, mencabar keputusan beliau secara terbuka.

Salam yang membatalkan semua janji temu rasmi pada Jumaat menegaskan, fokus beliau adalah untuk memastikan pelaku ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

“Kelakuan tidak bertanggungjawab ini hanya menguatkan tekad kita untuk membina semula negara berasaskan undang-undang dan institusi,” katanya.

Menteri Kehakiman, Adel Nassar pula mengesahkan pihak pendakwaan bekerjasama dengan pasukan keselamatan bagi mengenal pasti individu yang terbabit, tanpa mengira pertimbangan politik. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×