Warga emas pandu lawan arus ditahan

Warga emas pandu lawan arus ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki warga emas yang tular kerana memandu secara melawan arus dalam kejadian di Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan berhampiran Restoran Jejantas Sungai Buloh di sini, semalam.

Penahanan lelaki tempatan berusia 80-an itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pihaknya terkesan sebuah video tular di media sosial yang memaparkan sebuah kereta dipandu melawan arus di lebuh raya berkenaan pada 10.30 malam.

Katanya, semakan mendapati kejadian berlaku pada 1 pagi hari sama dan susulan itu, polis berjaya mengesan dan menahan lelaki warga emas berkenaan.

“Semakan mendapati pemandu kereta berkenaan tiada sebarang rekod (kesalahan) lampau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Katanya, warga emas terbabit dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai memberi keterangan, semalam atas faktor umur dan kesihatan. 

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat untuk arahan selanjutnya. 

“Polis mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang kejadian atau kemalangan,” katanya.

M Hussin Sollehuddin mengingatkan, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu yang memandu secara berbahaya dan tindakan tegas boleh diambil kepada mereka yang melanggar undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×