WASHINGTON: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) Amerika Syarikat menggantung tugas seorang pegawai Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) selepas tular rakaman video yang menunjukkan beliau menolak seorang wanita sehingga terjatuh di sebuah mahkamah imigresen di New York.
Dalam kenyataan rasmi, Penolong Setiausaha DHS, Tricia McLaughlin menegaskan, tindakan pegawai berkenaan tidak boleh diterima dan mencemarkan imej pasukan penguat kuasa.
“Kelakuan pegawai dalam video tersebut adalah tidak wajar dan sama sekali tidak mencerminkan standard profesional tinggi yang dipegang oleh anggota ICE,” katanya.
DHS memaklumkan siasatan penuh sedang dijalankan berhubung insiden berkenaan.
Rakaman video yang dikongsi meluas di media sosial sejak Khamis lalu menunjukkan seorang wanita dalam keadaan menangis menghampiri pegawai terbabit di sebuah koridor mahkamah.
Pegawai itu dilihat beberapa kali berkata ‘adios’ atau selamat tinggal sebelum bertindak menolak wanita berkenaan hingga jatuh.
Rakaman lain dari sudut berbeza pula memperlihatkan wanita itu menjerit dalam bahasa Sepanyol.
“Ambil saya, ambil saya!”, sebelum pegawai berkenaan mengheret dan menolaknya ke dinding.
Beliau kemudian menolak wanita itu ke lantai sambil sambil mengarahkannya keluar dalam bahasa Sepanyol sebelum meminta pegawai lain mengiringinya keluar dari bangunan.
Media tempatan melaporkan insiden tersebut berlaku selepas ejen persekutuan cuba menahan suami wanita berkenaan ketika dia bersama anak perempuannya memeluk lelaki itu bagi menghalang tangkapan.
Wanita itu kemudian mengesahkan dirinya berasal dari Ecuador.
Di bawah pentadbiran Presiden, Donald Trump, operasi menahan pendatang tanpa izin di mahkamah imigresen kerap dijalankan oleh ICE, termasuk di New York yang mencatatkan ratusan tangkapan. -AGENSI










