NEW YORK: Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis yang juga sekutu penting Israel dalam Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran, rejim itu berisiko kehilangan baki rakan sehaluan akibat perang pemusnahannya di Gaza.
Berucap di Perhimpunan Agung PBB (UNGA), pemimpin konservatif itu menegaskan, Israel mempunyai hak mempertahankan diri selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, namun hak tersebut tidak boleh digunakan untuk membenarkan kematian ribuan kanak-kanak.
“Tiada sasaran ketenteraan, walau sebesar mana nilainya, boleh dijadikan alasan untuk membenarkan kematian ribuan kanak-kanak, pengusiran paksa lebih sejuta rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, serta penderitaan kemanusiaan yang ditanggung rakyat Palestin.
“Krisis ini sudah mencapai tahap mendesak yang tiada tandingannya,” katanya.
Dalam ucapannya Mitsotakis turut memberi amaran, tindakan Israel di Tebing Barat berisiko mewujudkan keadaan yang tidak boleh dipulihkan di lapangan serta menghakis sokongan sekutu rapatnya.
“Langkah paling mustahak ialah menghentikan pembunuhan yang tidak perlu dan memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan berskala besar serta berterusan ke Gaza. Greece akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan ke arah satu peta jalan yang dapat menghidupkan semula proses damai dan memberi harapan kepada sebuah wilayah yang telah terlalu lama menderita.
“Greece mengekalkan kerjasama strategik dengan Israel, tetapi itu tidak menghalang kami daripada bersuara secara terbuka dan jujur.
“Jika Israel meneruskan haluan ini, ia akhirnya akan merugikan kepentingannya sendiri dan menghakis sokongan antarabangsa. Saya katakan kepada Israel, mereka berisiko mengasingkan semua sekutu yang masih ada sekiranya terus berada di landasan yang menghancurkan prospek penyelesaian dua negara,” tegasnya.
Greece tidak menyertai beberapa kuasa Eropah termasuk Perancis dan Britain yang baru-baru ini mengiktiraf negara Palestin sebagai tanda kekecewaan terhadap Israel.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang lantang menuduh pemimpin Barat menyemarakkan antisemitisme dalam ucapannya di PBB dilaporkan terpaksa mengambil laluan lencongan ke New York dengan pesawatnya yang melalui ruang udara Greece, berikutan waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadapnya.
Greece sebelum ini menemui kepentingan bersama dengan Israel susulan ketegangan kedua-dua negara dengan Turkiye, yang semakin meluaskan pengaruhnya di Syria sejak kejatuhan Bashar al-Assad pada Disember lalu.
Namun, Israel turut berdepan kritikan awam yang meluas di Greece, malah bekas perdana menteri berhaluan kiri, Alexis Tsipras, menggesa Athens mengiktiraf negara Palestin.-AFP











