GEORGE TOWN: Kerajaan akan memperluas sesi libat urus khas melalui program townhall bersama pelajar sekolah rendah, menengah serta mahasiswa universiti bagi mendengar pandangan mereka dalam proses penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu penting kerana isu buli memberi kesan besar kepada semua peringkat usia, khususnya kanak-kanak dan remaja.
“Ini mungkin kali pertama sesi townhall akan melibatkan murid sekolah rendah, pelajar menengah serta mahasiswa. Kita mahu dengar suara mereka sendiri kerana mereka adalah golongan yang paling dekat dengan isu ini.
“Kita sudah dengar pandangan guru, pengetua dan ibu bapa. Kini tiba masanya untuk mendengar pula daripada anak-anak. Suara mereka akan beri perspektif baharu yang amat berharga,” katanya selepas menghadiri Sesi Townhall Anti-Buli #GenerasiTanpaBuli peringkat Pulau Pinang dan Perak di Sungai Ara, di sini semalam.
Ketika ini, sesi townhall dan konsultasi awam itu sedang dijalankan bagi membentuk RUU Tribunal Anti-Buli yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada Disember ini.
Menurut beliau, sesi bersama pelajar universiti dijangka berlangsung Oktober ini dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta penglibatan NGO pelajar, universiti dan persatuan mahasiswa. Pada masa sama, sesi khusus dengan pelajar sekolah rendah dan menengah turut dirancang bagi memastikan suara kanak-kanak tidak diketepikan.
Azalina mendedahkan, hasil maklum balas awal daripada siri townhall sebelum ini mendapati majoriti peserta mahu definisi buli diperluas, bukan hanya membabitkan golongan bawah 18 tahun tetapi juga individu dewasa.
“Mereka mahu tribunal yang berani, cepat, berkesan serta mudah diakses semua pihak. Ada cadangan supaya diwujudkan talian hotline khas untuk mangsa mengadu terus,” katanya.
Dalam aspek hukuman, katanya, kebanyakan pihak menolak hukuman penjara, sebaliknya lebih menyokong pendekatan restoratif seperti khidmat masyarakat, kaunseling dan penalti berbentuk denda.
Beliau menegaskan, cadangan-cadangan itu membuktikan Kerajaan Madani serius mendengar suara rakyat secara langsung dalam proses pembentukan undang-undang.
“Setiap sesi beri input amat berharga. Rakyat mahu kita buat betul-betul, bukan sekadar simbolik. Isu buli ini pengalaman yang hampir semua pernah lalui, jadi undang-undang mesti komprehensif serta berpihak kepada mangsa,” katanya. – UTUSAN











