TAMPIN: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua pertuduhan mencederakan dan melakukan ugutan terhadap seorang pelajar lain di sebuah asrama sekolah di Rembau bulan lalu.
Bagaimanapun, remaja tersebut mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mohamad Redza Azhar Rezali.
Berdasarkan pertuduhan pertama, remaja itu telah didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang remaja lelaki berusia 15 tahun di dalam asrama lelaki kira-kira pukul 7.25 malam pada 13 Ogos lalu. Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua pula, remaja itu telah melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan ketakutan ke atas pelajar yang sama dengan mengeluarkan perkataan ‘jangan sampai ada budak yang mati kena cekik’
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 12.15 tengah malam di asrama yang sama, namun di dorm yang berbeza pada 14 Ogos lalu. Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Majistret kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 beserta syarat tambahan tidak mendekati mangsa.
Sebutan semula kes bagi tujuan lantikan peguam pada 28 Oktober ini. Difahamkan, punca kepada insiden tersebut adalah disebabkan rokok elektronik atau vape. – UTUSAN










