PETALING JAYA: Di sebalik keupayaan cemerlang anak watan dalam bidang nuklear, negara terpaksa menerima hakikat lebih 100 pakar berharga kini menabur bakti di bumi asing kerana peluang dalam negara masih terhad.
Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin berkata, kepakaran mereka boleh ditarik balik sekiranya negara membangunkan loji tenaga nuklear.
Katanya, penghijrahan itu berlaku kerana kekangan pasaran kerja tempatan yang belum membuka peluang mencukupi dalam bidang sains nuklear.
Menurut beliau, negara mempunyai asas kepakaran yang kukuh hasil pembangunan reaktor penyelidikan sejak 1982 dan latihan pakar di universiti tempatan.
“Perkara ini boleh dilihat melalui tawaran bidang pengajian Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Nuklear) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Sarjana Muda Kejuruteraan Nuklear dengan Kepujian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
“Pembinaan reaktor nuklear di Malaysia akan memberi ruang pekerjaan luas serta menarik semula pakar-pakar tempatan pulang serta menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan tempatan yang berada dalam bidang pengajian nuklear.
“Jikalau kita tidak segera mengambil tindakan, perkara sama akan berulang kerana ada antara graduan terdahulu yang terpaksa bekerja di luar negara sehingga puluhan tahun dan berpencen di sana seperti di Australia dan di lain-lain negara lagi.
“Peluang pembinaan itu juga akan merangsang generasi muda untuk menceburi bidang kejuruteraan dan sains nuklear,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menurut beliau, antara kekangan terbesar merealisasikan tenaga nuklear adalah persepsi awam, kos permulaan tinggi dan ketiadaan keazaman politik.
Beliau berkata, ura-ura pembinaan reaktor nuklear sudah lama dibincangkan, dan kini masanya sesuai untuk tindakan konkrit dan ia boleh dimulakan secara berfasa dengan mengambil kira aspek keselamatan dan kesediaan masyarakat.
“Pakar nuklear Malaysia di luar negara dilihat sebagai aset strategik yang mampu menyokong pembangunan loji tenaga nuklear di tanah air dan kita perlu fokus cari jalan penyelesaian bersama untuk memastikan tenaga kerja ini pulang menabur bakti di Malaysia agar negara kita dapat bersaing dengan negara lain secara sihat,” katanya. – UTUSAN










