Kejohanan WKF Karate 1-Series A Kuala Lumpur medan nilai atlet ke Sukan Sea

Kejohanan WKF Karate 1-Series A Kuala Lumpur medan nilai atlet ke Sukan Sea

MOHD Ali Mohd. Rustam meneliti persiapan fasiliti kemudahan sebelum berlangsungnya Kejohanan WKF Karate 1-Series A Kuala Lumpur 2025 di N9 Arena, Nilai, Seremban hari ini. - UTUSAN /NUR SHARIEZA ISMAIL 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) akan memanfaatkan Kejohanan WKF Karate 1-Series A Kuala Lumpur 2025 di N9 Arena, Nilai di sini sebagai medan persiapan skuad negara menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand serta Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun.

Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, seramai 30 atlet termasuk pemenang podium dan atlet pembangunan akademi akan diturunkan pada kejohanan itu sebagai penilaian prestasi untuk pemilihan ke temasya dwitahunan berkenaan.

“Daripada kejohanan itu, kami akan menilai kemampuan atlet negara untuk dipilih ke Sukan SEA. Hanya yang terbaik akan dibawa ke Thailand bagi memastikan prestasi konsisten kerana karate tidak pernah ketinggalan menyumbang pingat kepada kontinjen negara,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Makan Bersama Penaung Karate Malaysia merangkap Naib Presiden Persekutuan Karate Asia (AKF), Tun Dr. Mohd. Ali Mohd. Rustam bersempena penganjuran Kejohanan WKF Karate 1 Series A Kuala Lumpur 2025 di Nilai di sini, hari ini. 

Menurut beliau, walaupun sukan karate berada dalam kelompok sukar di pentas dunia, sasaran tetap diletakkan agar skuad negara mara sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir selain memburu pingat emas pada Sukan SEA nanti.

“Sebagai presiden, sudah tentu saya mahu keputusan terbaik. Atlet perlu menunjukkan prestasi konsisten kerana pingat amat penting.  Namun, saya tidak mahu memberi tekanan berlebihan. Jika keputusan tidak memihak kepada kita, masih ada masa dua bulan untuk memperbaiki aspek mental, taktikal dan persiapan lain,” ujarnya.

Mengulas mengenai penganjuran kejohanan berstatus dunia itu, Nur Azmi berkata, ia merupakan peluang terbaik mempromosikan karate di Negeri Sembilan dengan sokongan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Biasanya kejohanan seperti ini dianjurkan di Eropah. Kali ini Malaysia diberi kepercayaan menjadi tuan rumah. Selain memberi pendedahan kepada atlet negara, ia juga mampu menarik minat masyarakat, khususnya pelajar sekolah, untuk mendekati sukan karate,” katanya.

Seramai 1,080 atlet karate daripada 81 negara akan berentap pada Kejohanan WKF Karate 1-Series A Kuala Lumpur 2025 di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan dari 3 hingga 5 Oktober ini. 

Kejohanan yang dianjurkan dengan kerjasama Persekutuan Karate Dunia (WKF), bakal menghimpunkan atlet elit dalam kategori Kumite dan Kata.

Edisi kali ini menyaksikan penyertaan lebih 96 atlet bagi setiap kategori Kumite serta 128 peserta dalam Kata yang menjanjikan saingan sengit bertaraf antarabangsa. Siri Kuala Lumpur merupakan pusingan keempat dan terakhir WKF K1 Series A 2025 selepas Tbilisi (Georgia), Larnaca (Cyprus) dan Salzburg (Austria). – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini