Multiple exposure ialah teknik fotografi yang menggabungkan dua atau lebih imej dalam satu bingkai sekali gus mencipta kesan visual unik dan penuh simbolik.
Dahulu, dalam era kamera filem, ia dilakukan secara manual dengan ketelitian tinggi.
Setiap dedahan adalah muktamad dan tiada ruang untuk kesilapan.
Hasilnya, hanya dapat disaksikan selepas filem dicetak, sering menjadi kejutan yang mengujakan.
Kini, dengan teknologi digital, teknik ini menjadi lebih fleksibel, tepat dan mudah diakses.

Kamera moden dan perisian penyuntingan memberi jurufoto kebebasan bermain dengan lapisan, warna dan kelegapan sehingga mencapai gabungan sempurna.
Fungsi seperti in-camera multiple exposure membolehkan hasil gabungan dapat dilihat serta-merta, mengurangkan risiko teknikal dan membebaskan kreativiti.
Malah, kecerdasan buatan (AI) kini membantu menyelaraskan imej, melaras pencahayaan dan mencadangkan komposisi, menjadikan proses lebih lancar.
Keindahan multiple exposure terletak pada kemampuannya menyampaikan naratif yang tidak dapat diungkapkan dengan satu imej tunggal.

Ia boleh meluahkan emosi, mencipta suasana surreal atau menggambarkan pertentangan antara realiti dan imaginasi.
Siluet wajah yang bercampur landskap atau potret dengan gerakan kabur mampu mengundang tafsiran mendalam daripada penonton.
Pelajar Jabatan Fotografi dan Pengimejan Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak, Meor Muhammad Azim Meor Azhar berkata, multiple exposure adalah bahasa visual yang membolehkan jurufoto bercakap terus dengan hati penonton.
Ia bukan sekadar gabungan dua gambar, tetapi proses mencipta satu dimensi baharu yang memerlukan imaginasi, perancangan, dan rasa.

Multiple exposure membuktikan yang fotografi tidak pernah terhenti pada fungsi merakam realiti semata-mata.
Ia adalah ruang imaginasi dan jambatan yang menghubungkan antara dunia nyata dengan yang wujud dalam minda.
Setiap lapisan imej adalah lapisan makna dan setiap gabungan adalah cerita yang menunggu untuk dibaca oleh mata serta hati penonton.
Inilah keindahan sebenar seni fotografi di mana kemampuannya mencipta momen yang tidak pernah wujud, tetapi terasa begitu nyata.
-Pensyarah kanan Jabatan Fotografi Dan Pengimejan Kreatif, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM, Perak.











