NEW YORK: Inisiatif global yang diketuai Arab Saudi untuk melaksanakan penyelesaian dua negara berjaya meraih sokongan bagi proses damai, apabila negara-negara anggota mengecam tindakan Israel di Gaza secara terbuka.
Mesyuarat peringkat tinggi Perikatan Global untuk Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara, yang ditubuhkan tahun lalu oleh Arab Saudi, diadakan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di sini, kelmarin.
Acara itu diketuai bersama Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, Ketua Polisi Luar Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas dan Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide.
Ia dihadiri wakil daripada hampir 100 negara, termasuk menteri luar dan duta, yang menyokong usaha Arab Saudi serta Perancis untuk mengakhiri perang di Gaza dan melaksanakan penyelesaian dua negara.
Mereka sebulat suara menyuarakan hasrat untuk melihat keamanan antara Israel dan Palestin, serta menetapkan gencatan senjata, pelucutan senjata Hamas serta pemulangan tebusan sebagai prasyarat segera.
Ramai wakil menyeru pengukuhan Pihak Berkuasa Palestin (PA) melalui inisiatif itu, dan supaya ia berperanan sebagai kerajaan sementara di Gaza dalam sebarang senario selepas perang.
Berucap ketika membuka mesyuarat itu, Putera Faisal menekankan kepentingan Deklarasi New York, hala tuju terperinci ke arah melaksanakan penyelesaian dua negara yang diterima oleh UNGA pada Isnin lalu.
“Dokumen itu merupakan misi jelas kepada kita semua untuk menjelmakan gabungan ini, bagi mengesahkan penyelesaian dua negara dan mengambil kira semua langkah.
“Kita tidak boleh sekadar mengeluarkan deklarasi kecuali ia diterjemahkan kepada tindakan nyata di lapangan,” katanya sambil mengulangi seruan supaya PA menjadi satu-satunya kerajaan di Gaza selepas perang berakhir.
Sementara itu, Kallas menyeru pakatan itu untuk menggandakan usaha ke penyelesaian dua negara, setahun selepas penubuhannya.
“Walaupun seruan dan usaha untuk gencatan senjata tidak diendahkan, saya melihat sedikit keyakinan selepas pertemuan pemimpin Arab dan Presiden Donald Trump. Mari kita harapkan ada hasil konkrit daripada itu,” katanya.- AGENSI









