PETALING JAYA: Rejim Zionis berusaha mematahkan usaha misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini dalam pelayaran untuk memasuki zon kuning ke Gaza, dengan melancarkan serangan dron.
Pengarah Media Muslim Care Malaysia, Tuan Asri Tuan Hussein berkongsi pengalaman mendebarkan apabila menyaksikan 12 letupan yang menghasilkan bunyi kuat dan cahaya terang di udara.
Katanya, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.40 malam pada Selasa, menyasarkan sembilan bot peserta yang menyertai pelayaran tersebut.
“Ia kemudian menghasilkan bau gas yang busuk. Alhamdulillah, bot yang saya naiki tidak terkena serangan itu.
“Dron itu menyasarkan sembilan bot dan tiga daripadanya dinaiki oleh peserta dari Sumud Nusantara termasuk dari Malaysia.
“Ini adalah cubaan awal tentera Israel untuk menakut-nakutkan peserta agar menghentikan misi ini. Kita jangka lebih banyak serangan lain akan berlaku,” katanya menerusi perkongsian di platform TikTok, hari ini.
Misi GSF kini berada di zon kelabu iaitu di perairan Greece, kira-kira 750 batu nautika dari Gaza dan belum memasuki zon kuning atau merah.
Serangan itu merupakan gangguan keempat sejak pasukan berlayar di Lautan Mediterranean dan diyakini sebagai usaha untuk menakutkan serta mengugut peserta misi kemanusiaan yang membawa bekalan bantuan.
Delegasi Malaysia diterajui Sekretariat Sumud Nusantara melalui Cinta Gaza Malaysia (CGM), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Cinta Salam Malaysia dengan membawa bantuan asas dan mesej solidariti antarabangsa. – UTUSAN











