Perjalanan saya ke Sabah benar-benar memberikan seribu satu kenangan yang tidak mungkin dilupakan.
Udara sejuk, keindahan pemandangan alam semula jadi, makanan enak dan pengalaman unik bersama penduduk tempatan menjadikan percutian ini antara yang terbaik pernah saya alami.
Persinggahan pertama saya dan keluarga adalah Desa Dairy Farm yang terletak di Kundasang, Sabah.
Lokasinya cukup istimewa kerana berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu yang juga kebanggaan rakyat Malaysia.
Melangkah masuk ke kawasan ladang tenusu tersebut terasa seolah-olah berada di luar negara.
Udara yang dingin serta-merta menerpa membuatkan saya terpaksa menggosok tangan berkali-kali untuk menghangatkan tubuh.
Antara pengalaman paling menyeronokkan di sana ialah apabila saya dapat memberi makan kepada anak lembu dan kambing.
Sejujurnya, ia pengalaman pertama kali saya seumur hidup dan ternyata sangat mengujakan.
Lebih menarik, pengunjung yang datang awal dapat melihat sendiri proses perahan susu lembu dilakukan menggunakan mesin khas.
Bagi saya, ia satu pengalaman yang cukup membuka mata tentang dunia penternakan moden.
Kami juga tidak melepaskan peluang peluang mencuba ais krim yogurt segar yang diperbuat daripada susu lembu.
Dengan cuaca sejuk yang hampir seperti musim luruh di luar negara, menikmati ais krim berperisa asli, mangga atau coklat terasa sungguh mengasyikkan.
Selain itu, kafe khas di kawasan ladang tersebut turut menyajikan pelbagai makanan lazat seperti pizza, ayam popcorn dan pie yang menggunakan susu lembu segar sebagai bahan utama.
Sebelum beredar, kami sempat bergambar di pintu masuk yang dihiasi deretan pokok ru bukit di sepanjang jalan. Latar pemandangan hijau yang tersusun rapi itu membuatkan setiap gambar kelihatan seakan-akan
diambil di Switzerland.
Petik sayur sendiri
Perjalanan diteruskan ke Kundasang Farm Ville yang tidak kurang menariknya.
Pendapat saya, tempat tersebut sangat sesuai bagi gemar merakam gambar estetik atau sekadar mahu menikmati suasana damai kebun sayur.
Saya sendiri tidak melepaskan peluang memetik sayuran segar seperti tomato, strawberi dan salad terus dari ladang.
Bayaran mengikut berat sayur yang dipetik, sangat berbaloi kerana murah dan kesegarannya sukar ditandingi.
Malah, setiap sayuran di sini dijaga dengan penuh teliti untuk hasil yang berkualiti dan memuaskan.
Makan tengah hari di Ladang Teh Sabah
Sambil menjamu selera, mata saya tidak lekang memandang ladang teh yang terbentang luas berlatar belakangkan banjaran Crocker.
Pemandangannya sungguh menenangkan, seolah-olah sedang menikmati secawan teh panas di sebuah kafe Inggeris.
Suasana sejuk juga menambah lagi rasa lapar.
Bukan itu sahaja, di situ, saya juga berpeluang melawat kilang pemprosesan daun teh.
Bermula daripada proses memetik pucuk muda hinggalah kepada pengeringan, setiap langkahnya diceritakan dengan penuh terperinci oleh pemandu pelancong.
Saya begitu kagum melihat bagaimana daun teh diproses sehingga menjadi serbuk teh berkualiti tinggi yang kita nikmati setiap hari.
Selain melawat kilang, aktiviti lain yang dilakukan termasuk berjalan-jalan di ladang teh sambil merakam gambar indah dengan latar hijau yang terbentang luas.
Malah, ada juga kawasan khas untuk pengunjung mencuba sendiri aktiviti memetik daun teh untuk merasai pengalaman seperti seorang pekerja ladang sebenar.
Sebelum meninggalkan ladang, saya tidak lupa membeli cenderamata Sabah Tea yang terkenal dengan pelbagai perisa unik lain seperti serai wangi, pudina, lavender dan misai kucing yang sukar didapati di pasaran biasa.-UTUSAN










