JAKARTA: Polis Indonesia (Polri) dengan kerjasama Polis Republik Singapura (SPF) menyiasat kegiatan sindiket penjualan bayi rentas sempadan berpusat di Jawa Barat, yang dipercayai melibatkan tiga warga Singapura.
Setiausaha Biro Pusat Nasional (NCB) Interpol Indonesia, Untung Widyatmoko berkata, operasi sindiket itu dikesan melibatkan beberapa lokasi termasuk Bandung, Jakarta, Pontianak di Kalimantan Barat serta Singapura.
“Kami sedang menjejaki aktiviti pemerdagangan bayi ini sehingga ke luar negara,” katanya dalam kenyataan Polri yang dikemas kini semalam.
Menurut beliau, pihak polis Singapura bersedia membantu mengesan tiga warga negara itu yang disyaki terlibat serta mengambil keterangan saksi berkaitan.
Soal siasat akan dijalankan berdasarkan senarai soalan daripada siasatan Polis Jawa Barat yang akan dihantar ke NCB Singapura hujung minggu ini.
Polri sebelum ini melaporkan, enam berjaya diselamatkan pada Julai lalu dengan lima daripadanya dipercayai untuk dijual kepada pembeli di Singapura namun hasil siasatan terkini mendapati sindiket berkenaan mengumpul sebanyak 25 bayi, dengan 15 daripadanya telah dihantar ke republik tersebut atas alasan pengangkatan anak.
Ketua Siasatan Jenayah Polis Jawa Barat, Surawan berkata, setiap bayi dijual pada harga sekitar S$20,000 (RM65,416) dan nilai itu termasuk kos bersalin, penjagaan bayi serta keuntungan sindiket.
“Angka ini berdasarkan 12 dokumen pengangkatan anak yang diperoleh hasil serbuan di rumah seorang suspek,” jelasnya.
Sindiket tersebut dipercayai mula beroperasi sejak 2023 dan pada peringkat awal bayi dijual pada harga antara Rp11 juta (RM 2,774) hingga Rp16 juta (RM4,035).
Jumlah suspek yang ditahan juga meningkat daripada 14 kepada 22 orang, yang kini berdepan pertuduhan di bawah undang-undang pemerdagangan manusia Indonesia dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum 15 tahun serta denda Rp600 juta (RM151,289). -AGENSI










