"Jangan lewatkan vaksinasi, nanti kami tawar hati" - Utusan Malaysia

“Jangan lewatkan vaksinasi, nanti kami tawar hati”

Penduduk Orang Asli Kampung Palawan teruja untuk menerima suntikan vaksin di bawah program Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Langkap, dekat sini semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Masyarakat Orang Asli di sekitar kawasan ini teruja untuk menerima suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) namun berharap komuniti itu tidak terlepas daripada hal berkenaan.

Tok Batin Along Bah El, 55, di Kampung Palawan, Langkap dekat sini berkata, terdapat kira-kira 5,000 komuniti Orang Asli di kawasan ini sudah sedia untuk menyertai PICK yang dijangka dijalankan di sini tidak lama lagi.

Katanya, di kampungnya sahaja terdapat 500 penduduk yang sememangnya menanti petugas kesihatan datang ke kampung mereka untuk memberikan suntikan vaksin.

“Semua anak buah saya di Kampung Orang Asli di Pelawan, Langkap sini bersetuju dan menyambut baik program suntikan vaksin ini.

“Kami harap jangan dilewat-lewatkan pemberian vaksin ini kepada kami di sini, nanti mereka tawar hati,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Penduduk di kampung tersebut, Rod Chuoh, 55, pula berkata, dia tidak menolak suntikan vaksin Covid-19 sebaliknya gembira untuk mengelak penularan wabak Covid-19.

“Kalau boleh saya mahu menjadi orang pertama di kampung ini menerima suntikan vaksin demi membuktikan vaksin yang diberikan kerajaan ini baik untuk mencegah wabak Covid-19,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Osman Bah Chepak, 38, berkata, dia dan adik beradiknya telah mendaftar melalui aplikasi MySejantera untuk menerima suntikan vaksin namun belum menerima panggilan untuk disuntik.

“Apabila melihat berita di televisyen semakin ramai dijangkiti Covid-19, kami takut dan keadaan pesakit menyedihkan.

“Suntikan vaksin ini adalah jalan terbaik untuk mengatasi wabak ini, kami sedar perkara ini dan tidak menolak pemberian vaksin malah sudah lama bersedia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×