Sektor ekonomi, sosial tutup - Utusan Malaysia

Sektor ekonomi, sosial tutup

Angkatan Tentera Malaysia dan polis akan melaksanakan total lockdown di seluruh negara mulai 1 Jun ini. – Utusan/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun ini.

Perkara itu diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, sepanjang tempoh tersebut, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan MKN.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 negara dengan jumlah kes harian melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

“Setakat hari ini (semalam), seramai 2,552 orang meninggal dunia akibat wabak ini dan jumlah kematian semakin meningkat. Kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan pantas juga turut mempengaruhi keputusan tersebut,” katanya.

Tambah kenyataan itu, dengan peningkatan kes-kes harian yang menunjukkan trend kenaikan secara lebih mendadak sejak mutakhir ini, kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit juga semakin terhad.

Jelas kenyataan, sekiranya lockdown fasa pertama ini berjaya mengurangkan kes-kes harian, kerajaan akan melaksanakan lockdown fasa kedua, iaitu dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal.

Katanya, lockdown fasa kedua ini akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas fasa pertama berakhir.

“Setelah berakhirnya lockdown fasa kedua, langkah seterusnya ialah memasuki fasa ketiga, iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang berkuat kuasa pada masa ini di mana aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan.

“Bagaimanapun, keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa berikutnya tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan. Penilaian akan dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit Covid-19.

“Kerajaan akan memastikan sistem kesihatan awam di negara kita tidak akan runtuh dan pelbagai sokongan dan bantuan akan diberikan kepada Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan kapasiti hospital di seluruh negara,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan juga akan meningkatkan jumlah pemberian vaksin dalam tempoh beberapa minggu akan datang dalam usaha untuk menghasilkan imuniti kelompok di negara ini.

Susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk terus berdisiplin dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Yang terbaik ialah duduk di rumah untuk bersama-sama melandaikan keluk jangkitan Covid-19,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×