Penduduk berhimpun bantah operasi kilang ikan

Penduduk berhimpun bantah operasi kilang ikan

SEBAHAGIAN daripada penduduk setempat yang berhimpun bagi menyatakan bantahan mereka terhadap operasi sebuah kilang ikan di Lahar Bubu, Kepala Batas, Pulau Pinang petang ini.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Lebih 200 penduduk dari Mukim 6, Jalan 3, Lahar Bubu di sini membantah operasi sebuah kilang ikan berhampiran kediaman mereka yang didakwa telah menimbulkan pelbagai masalah sejak lima tahun lalu.

Lebih mengecewakan, penduduk turut mendakwa bahaw Kebenaran Merancang dan pertukaran status tanah kediaman kepada zon industri juga telah diluluskan tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka.

Salah seorang penduduk, R. Asogan, 33, berkata, kilang terbabit yang terletak hanya kira-kira lima kaki dari rumahnya turut menyebabkan berlakunya masalah pencemaran bau dan udara.

“Antara masalah lain yang timbul termasuk air bertakung akibat sistem perparitan yang tidak teratur selain lori muatan berat yang lalu lalang sehingga merosakkan jalan menuju ke kediaman penduduk.

“Selain itu, kilang ini juga beroperasi tidak tentu masa dan menyebabkan bunyi bising kedengaran hampir setiap hari.

“Selepas 12 tahun menetap di sini, ketenangan kami benar-benar terjejas akibat operasi kilang itu,” katanya ketika ditemui pemberita dalam himpunan aman bagi membantah operasi kilang terbabit di sini, petang ini.

Seorang lagi penduduk, Eric Tam Wooi Yee, 54, pula memaklumkan, ada dalam kalangan penduduk terpaksa berpindah kerana tidak sanggup lagi menanggung keadaan tersebut.

“Terdapat lebih 20 buah rumah berdekatan kilang itu dan memang menjadi cabaran buat kami kerana terpaksa berdepan dengan situasi seumpama ini setiap hari.

“Kita tidak menghalang pembangunan, namun, jika ia perlu dijalankan, maka, ia harus berdasarkan undang-undang tanpa mengetepikan penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad ketika ditemui berkata, beliau telah membawa isu berkenaan ke peringkat Parlimen untuk tindakan susulan.

“Kita bukan nak salahkan sesiapa, tetapi, apa yang kita harapkan ialah, pihak berautoriti (pihak berkuasa) akan lebih telus dalam memberikan lesen atau persetujuan terhadap pengoperasian mana-mana kilang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×