Mindef utamakan kebajikan anggota ATM melalui pelbagai inisiatif

Mindef utamakan kebajikan anggota ATM melalui pelbagai inisiatif

Mohamed Khaled Nordin merasmikan blok bangunan baharu yang menempatkan bilik darjah SK Kem Lok Kawi dengan kos naik taraf RM3.06 juta. - GAMBAR/IHSAN MINDEF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kementerian Pertahanan (Mindef) terus memberi penekanan terhadap kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan di Kem Lok Kawi, Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan anggota dan keluarga tentera sentiasa terjamin.

“Kesejahteraan anggota ATM dan keluarga mereka adalah keutamaan. Mereka berkorban untuk negara, maka menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan kebajikan dan fasiliti mereka diberi perhatian sewajarnya,” katanya ketika melakukan lawatan kerja ke Markas 5 Divisyen, di sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi; Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Noorrul Azril Ariffin serta pegawai kanan Tentera Darat Malaysia.

Dalam lawatan itu, Mohamed Khaled merasmikan Blok Bangunan Baharu yang menempatkan bilik darjah di Sekolah Kebangsaan Kem Lok Kawi dengan kos naik taraf berjumlah RM3.06 juta.

Beliau turut menyerahkan replika cek bernilai RM25,000 kepada Guru Besar SK Kem Lok Kawi, Sahibul Daim, dan Penolong Kanan Pentadbiran SK Kem Tentera Sandakan, Azmy Ahmad.

Sumbangan itu daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di bawah Program Sekolah Angkat MADANI bagi Sekolah-sekolah Dalam Kem (SDK).

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk memastikan anak-anak warga ATM mendapat kemudahan pendidikan yang lebih baik dan suasana pembelajaran yang kondusif,” jelas Mohamed Khaled.

Selain itu, beliau meninjau projek madu kelulut di Kem 3 RAMD yang diusahakan oleh Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dengan kerjasama Boustead Plantations Berhad (BPlant) sebagai pembeli utama hasil madu serta Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam aspek kajian.

“Projek ekonomi seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kewangan kepada keluarga anggota, tetapi juga membuka ruang kerjasama dengan pihak industri dan akademik,” katanya.

Dalam lawatan itu, Mohamed Khaled turut meninjau projek pembinaan tandas baharu Masjid As-Salam, Kem Lok Kawi serta kerja penambahbaikan laluan rosak yang dibiayai LTAT dengan kos keseluruhan RM150,000, di bawah Program Kem Santuni MADANI LTAT.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kebajikan kepada 20 anggota ATM dan keluarga yang menghidap penyakit kronik serta kurang upaya, selain menyantuni lebih 500 anggota tentera dan orang awam di Kem Lok Kawi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×