NEGARA kita bukan sahaja terkenal dengan kepelbagaian adat dan budaya, tetapi juga kaya dengan pelbagai makanan tradisi yang menjadi kebanggaan rakyat. Makanan tradisi juga mempunyai nilai sejarah penting dalam peradaban masyarakat setempat.
Bahan yang dipilih serta cara penyediaannya berkait rapat dengan faktor budaya kehidupan serta alam semulajadi kawasan itu. Penggunaan pelbagai herba dan rempah ratus pula bukan sahaja dapat melazatkan makanan tetapi berkhasiat untuk diri kita.
Masih banyak makanan tradisi yang kurang dikenali dan hanya boleh didapati di lokaliti tertentu. Setengahnya pula semakin dilupakan khususnya generasi muda.
Antara makanan tradisi yang menjadi kegemaran saya ialah burasak atau buras. Ramai yang belum pernah merasai kelazatannya. Hidangan tradisi yang dihasilkan daripada beras dan santan ini sesuai dihidangkan bersama asam pedas, ungkep, rendang atau serunding.
BASI
Itulah makanan yang akan kami cari jika ke Pontian. Bagi kami sekeluarga, rasanya tidak lengkap kalau ke Pontian jika tidak dapat makan burasak bersama asam pedas Johor yang lazat.
Burasak juga sangat istimewa di hati saya kerana ia makanan kesukaan arwah ayah. Malah, jika kami ke Tanjung Piai pun, ayah akan cuba singgah di Pontian untuk menikmati burasak.
Walaupun menggunakan santan, burasak tidak mudah basi kerana proses merebusnya memakan masa berjam-jam. Mungkin kerana proses pembuatannya agak cerewet, kini tidak ramai yang mahir menyediakannya.
Sama seperti penyediaan makanan tradisi lain, contohnya telur pindang Johor. Menurut ibu, telur pindang mesti direbus selama berhari-hari bersama rempah-ratus, beberapa jenis herba serta daun-daun tertentu. Hasilnya, telur pindang akan tahan lama, rasanya enak serta wangi.
Oleh kerana faktor masa serta kos pengeluaran, kini ramai yang tidak lagi menghasilkan telur pindang dengan cara dan resepi tradisi. Justeru, ramai yang tidak mengetahui rasa sebenar hidangan warisan ini serta resepi aslinya.
Namun, dalam melayari kehidupan moden, ada dalam kalangan kita yang tidak lagi menghargai nilai-nilai tradisional serta melupakan asal usul kita. Ada yang berasa segan dan malu untuk menjamah makanan tradisi sendiri sebaliknya berbangga dengan makanan luar yang dianggap lebih unggul dan berprestij.
PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.









