30 juta muat turun aplikasi Nusuk, rekod peningkatan 150 peratus - Utusan Malaysia

30 juta muat turun aplikasi Nusuk, rekod peningkatan 150 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEDDAH: Aplikasi rasmi Haji dan Umrah Arab Saudi, Nusuk mencatat kejayaan besar dengan lebih 30 juta muat turun, menunjukkan peningkatan tahunan luar biasa sebanyak 150 peratus berbanding hanya 12 juta pada tahun 2024.

Menurut laporan Agensi Berita Arab Saudi (SPA), lebih 90 peratus pengguna aplikasi ini berasal dari lebih 190 negara, menjadikannya satu platform digital berskala global yang berperanan penting dalam memperkasa pengalaman jemaah menunaikan haji, umrah dan ziarah.

“Ini bukti komitmen Arab Saudi untuk mentransformasikan perkhidmatan ibadah melalui teknologi,” kata kenyataan Kementerian Haji dan Umrah.

Nusuk kini menawarkan lebih 100 perkhidmatan digital yang meliputi keseluruhan perjalanan jemaah termasuk daripada perancangan awal, pelaksanaan ibadah, hingga kepulangan.

Perkhidmatannya merangkumi tempahan umrah, lawatan ke Al-Rawdah Al-Sharifah, tiket kereta api laju Haramain, penerbangan, hotel, serta pelbagai lawatan pengayaan.

Aplikasi ini turut menambah ciri-ciri harian yang memberi nilai tambah kepada pengguna seperti akses kepada al-Quran digital, waktu solat dan panduan arah kiblat.

Bagi memastikan pengalaman pengguna terus dipertingkat, kementerian mengesahkan satu kemas kini utama akan dilancarkan tidak lama lagi.

Kemas kini ini dijangka menjadikan antaramuka aplikasi lebih lancar dan mesra pengguna, seiring dengan misi menjadikan Nusuk sebagai platform digital Islamik terunggul di dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×