Pempengaruh India ditahan sebar dakwaan Lapangan Terbang Goa berhantu - Utusan Malaysia

Pempengaruh India ditahan sebar dakwaan Lapangan Terbang Goa berhantu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI : Seorang pempengaruh media sosial terkenal India dengan lebih 572,000 pengikut ditahan pihak berkuasa selepas didakwa menyebarkan fitnah kononnya Lapangan Terbang Antarabangsa Manohar di Goa berhantu.

Akshay Vashisht, pemilik saluran YouTube berasaskan kandungan paranormal, ditahan awal minggu ini selepas polis mendapati videonya berjudul “Evil Haunted Goa Airport” mengandungi tuduhan palsu, berunsur tahyul serta berniat menimbulkan ketakutan orang ramai.

Menurut Polis Goa, rakaman video itu dikesan oleh Unit Pemantauan Media Sosial sebelum Vashisht ditahan dan dibawa ke Balai Polis Mopa untuk disoal siasat.

Dalam videonya, Vashisht mendakwa lapangan terbang baharu itu dibina di atas bekas kawasan pembakaran mayat dan kini diganggu aktiviti paranormal.

Antara dakwaan termasuk kononnya kakitangan lapangan terbang sering terlihat kelibat misteri, malah terdapat juruterbang yang enggan menerbangkan pesawat pada waktu malam kerana gangguan roh wanita berbaju sari merah di landasan.

Polis menegaskan tuduhan tersebut direka-reka semata-mata untuk melonjakkan populariti saluran YouTube milik Vashisht.

“Kandungan yang dimuat naik penuh dengan tuduhan palsu dan sengaja disensasikan untuk menimbulkan ketakutan masyarakat,” jelas seorang pegawai polis.

Pada Khamis lalu, Vashisht memuat naik hantaran di Instagram mendakwa penahanannya adalah tidak wajar serta menuduh pihak polis bertindak kasar terhadapnya.

Saluran YouTube milik Vashisht sebelum ini sering meraih tontonan tinggi kerana gaya penceritaan dramatik dengan menumpukan kepada kisah seram tempatan di India, walaupun sebahagian besar daripadanya dianggap keterlaluan dan tidak berasas. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×