BEIRUT: Setiausaha Agung Hezbollah, Naim Qassem, merayu kepada Arab Saudi untuk memperbaiki hubungan dengan kumpulan bersenjata Lubnan itu dan membina satu pakatan bersama menentang Israel.
Kenyataan pemimpin Hezbollah itu dibuat pada Jumaat ketika Israel melancarkan lebih banyak serangan ke selatan Lubnan.
Qassem menggesa Riyadh membuka ‘lembaran baharu’ dengan Hezbollah berasaskan tiga prinsip, dialog untuk menyelesaikan pertikaian dan menangani kebimbangan, pengiktirafan Israel adalah musuh serta membekukan perselisihan lama.
Beliau menegaskan, senjata Hezbollah hanya ditujukan kepada Israel, bukan Lubnan, Arab Saudi atau mana-mana pihak lain di dunia.
Qassem memberi amaran sebarang tekanan terhadap kumpulan itu hanya menguntungkan Israel, dan tidak mustahil negara lain pula akan menjadi sasaran.
Hubungan Arab Saudi dan Hezbollah sekian lama tegang, sebahagian daripada persaingan antara Riyadh dan Iran, penyokong utama Hezbollah.
Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang diketuai Arab Saudi, mengisytiharkan Hezbollah sebagai organisasi pengganas pada 2016 kerana penglibatannya dalam perang saudara Syria, serta sokongannya kepada puak Houthi di Yemen.
Dalam ucapannya, Qassem menyifatkan Israel sebagai kuasa penjajah moden yang dahulu disokong Britain dan kini dilindungi Amerika Syarikat (AS).
Beliau menuduh Israel semakin biadab kerana melakukan jenayah dengan sokongan penuh Washington tanpa mempedulikan undang-undang antarabangsa.
“Perang, sekatan dan Perjanjian Abraham semuanya gagal memberikan kemenangan pantas yang diharapkan oleh AS dan Israel, dan bagi mereka, genosid kini menjadi jalan penyelesaian,” katanya.- AL JAZEERA










