ADA sesiapa lagi dalam kalangan kita yang masih mengikuti perkembangan kekejaman Israel di Gaza? Ada yang terus istiqamah memberi sokongan dari jauh dan ada pula yang melihat Gaza sekadar berita biasa yang sudah hilang nilai sensasinya.
Sedangkan, pada masa kini Israel terus menekan penduduk Gaza hingga mereka kini terpaksa ‘berhimpit’ dalam satu ruang kecil tanpa sebarang kemudahan asas ekoran operasi darat yang dilakukan oleh tentera rejim zionis itu.
Israel seboleh-boleh mahu menjadikan Gaza sebagai ‘neraka’ untuk penduduknya kerana dunia tidak mampu berkata apa-apa.
Israel bebas melakukan apa sahaja termasuk membunuh sebanyak mungkin penduduk Gaza dengan alasan mahu memburu pejuang Hamas. Dan ia dibenarkan oleh dunia termasuk direstui secara tidak langsung oleh negara-negara Islam.
Malah dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dua tiga hari lepas pun menyaksikan Amerika Syarikat memveto apa sahaja yang berkaitan Israel.
Sebab itu, Penganalisis Politik Palestin, Ahmed Najar dalam artikelnya yang disiarkan oleh Aljazeera berkata, perkataan pembunuhan beramai-ramai tidak lagi menjadi perdebatan apabila ia membabitkan ke Gaza.
Walaupun ia disifatkan sebagai keterlaluan melalui protes-protes oleh beberapa pertubuhan hak asasi manusia terkemuka dunia, pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan sarjana pembunuhan beramai-ramai, namun ia ibarat anjing menyalak bukit.
Persatuan Ulama Genosid Antarabangsa, Suruhanjaya Siasatan PBB dan NGO tempatan dan antarabangsa yang tidak terkira banyaknya telah membuat kesimpulan bahawa serangan Israel ke atas Gaza memenuhi definisi pembunuhan beramai-ramai di bawah Konvensyen 1948 mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid, perjanjian yang mentakrifkan dan melarang pembunuhan beramai-ramai secara sah.
Maka kata Ahmed Najar, yang tinggal kini hanya sekelumit persoalan untuk kita renung iaitu apa gunanya pengiktirafan tanpa tindakan? Apakah maksudnya bersuara selantang-lantangnya bahawa rakyat Gaza sedang disembelih beramai-ramai tetapi tiada apa-apa yang dilakukan untuk menghentikannya?
Jika Israel sudah melepasi batas dalam pembunuhan beramai-ramai, adakah ia mempunyai insentif untuk berhenti? Atau adakah jenayah Israel diiktiraf dunia sebab itu ia tidak menerima apa-apa akibat yang mana itu sebenarnya mendorong mereka untuk mempercepatkan pembunuhan di Gaza. Kerana mereka tahu bahawa dunia sekadar melihat, mengutuk, dan akhirnya tidak melakukan apa-apa.
Malah negara-negara Islam sendiri pun sekadar boleh mengutuk dan mengkriti tanpa dapat melakukan apa-apa.
Ingatkan apabila Doha kena serang baru-baru ini, maka negara-negara Arab akan memberikan tindak balas yang keras. Rupa-rupanya itu tidak berlaku. Sidang kemuncak tergempar negara Arab-Islam pun tidak menampilkan resolusi yang konkrit.
Dari segi bantuan, masyarakat dunia telah menghantar berpuluh-puluh ribu tan makanan dan sebagainya. Tetapi semuanya sangkut di Mesir. Kerana tidak ada negara di dunia termasuk negara Islam yang mempunyai kekuatan politik untuk memecahkan kekebalan Israel.
Jadi, kini hanya tinggal satu lagi harapan untuk penduduk, itupun jika berkata iaitu kepada Global Sumud Flotila (GSF) yang kini sudah berkumpul di tiga pelabuhan di Mediterranean untuk berlepas ke Gaza.
Flotila ini sebenarnya adalah satu tamparan kepada umat Islam kerana penggeraknya adalah orang bukan Islam. Malah majoriti mungkin lebih 90 peratus peserta flotila yang mahu memecahkan sekatan bantuan Israel adalah bukan Islam.
Pempengaruh media sosial terkenal, Zainal Rashid Ahmad berkata, ini adalah tamparan kepada kira-kira dua bilion umat Islam, apabila ketika rakan kita di Gaza menderita Allah memilih golongan kafir untuk membuka jalan membantu mereka.
Ketika dunia Islam hanya sekadar melihat dan mengutuk dari jauh tanpa melakukan apa kata Zainal, seorang individu yang bertatu dan bertindik di pusat serta hidung dipilih untuk mengetuai satu pelayaran yang dianggap mustahil.
Flotila ini bukan bertujuan untuk berperang atau mencapai apa-apa kemenangan, tetapi ia lebih kepada usaha untuk membuka mata dunia (terutama umat Islam) bahawa penduduk Gaza yang dihimpit dengan bencana kemanusiaan terburuk abad ini perlu dibantu walau dengan apa cara sekali pun.
Kata Zainal, sehingga kini tidak ada mana-mana kerajaan atau negara yang berani berhadapan dengan Israel secara bersemuka. Hanya flotila ini setakat ini berani berbuat demikian walaupun nasib mereka entah berjaya atau tidak. Tetapi sekurang-kurang ada yang berani melakukannya.
Greta Thunberg, iaitu penggerak utama flotila adalah aktivis iklim dari Sweden yang didiagnosis dengan sindrom asperger. Tidakkah kita pernah bertanya kenapa individu seperti ini yang dipilih oleh-Nya untuk misi memecahkan sekatan Israel di Gaza?
Kenapa bukan individu dari Indonesia yang merupakan negara Islam terbesar? Atau dari Malaysia yang penduduknya Islamnya pagi petang siang malam mengkritik orang lain? Atau negara-negara Arab di mana para anbiya diturunkan?
Sedar atau tidak, Sumud Flotilla Global ini adalah tamparan kepada negara-negara Islam yang gagal bersatu untuk menyelamatkan saudara seagama di Gaza. Kerana kegagalan umat Islam untuk bersatu maka Tuhan tampil individu yang tidak tahu apa itu perbezaan mazhab, apa itu perbezaan iktikad dan sebagai, tetapi semata-mata atas nama kemanusiaan untuk membantu Gaza.
Flotilla adalah gerakan awam, tidak membabitkan mana-mana negara, hanya membabitkan kawan-kawan. Malah langsung tidak membabitkan negara Islam.
Orang awam dari 45 negara termasuk Malaysia bergabung untuk langgar sekatan Israel dengan harapan jika sesuatu berlaku, maka negara-negara yang mereka wakili akan bertindak balas ke atas Israel.
Ini adalah tindakan berani yang perlu dihormati. Sama ada mereka berjaya atau tidak itu perkara kedua. Yang penting mereka berusaha untuk membuka mata dunia.
Ketika dunia termasuk masyarakat Islam sendiri mula berpaling daripada saudara kita di Gaza, mereka tampil memberitahu krisis di Gaza masih berterusan. Saban hari ada yang menjadi korban keganasan Israel. Yang hidup pula berhadapan dengan kebuluran dan seribu satu macam kekurangan. Dan mereka perlu dibantu. Salah satu caranya adalah dengan menggerakkan flotila ini.
Semoga usaha mereka bersama-sama dengan rakan-rakan yang berada di atas bot di Mediterranean sekarang ini akan berjaya dengan dalam misi murni mereka.
Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia










