WASHINGTON: Yogurt, yang biasanya dianggap makanan sihat dengan protein dan probiotik, mungkin akan dikategorikan sebagai makanan ultraproses (UPF) seperti minuman ringan serta gula-gula, di bawah rancangan baharu kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Cadangan itu dipelopori Setiausaha Kesihatan AS, Robert F. Kennedy Jr, yang mahu kerajaan menetapkan definisi rasmi makanan ultraproses dan memperkenalkan label khas pada bungkusan menjelang akhir 2025.
Beliau berkata, makanan berproses adalah antara punca utama penyakit kronik di Amerika, dan rakyat berhak tahu kandungan sebenar makanan mereka.
Kebimbangan turut meningkat kerana lebih separuh daripada jumlah kalori yang dimakan rakyat AS dianggap sebagai makanan ultra-proses berdasarkan sistem Nova, piawaian paling kerap digunakan.
“Kami menumpukan secara khusus kepada aspek pemakanan,” kata Kennedy yang sebelum ini menyatakan makanan diproses tinggi sedang meracun rakyat Amerika.
Namun, syarikat makanan bimbang definisi itu terlalu luas sehingga merangkumi produk yang dihasilkan untuk memberi manfaat kesihatan seperti yogurt berperisa, serbuk protein, roti bijirin penuh dengan bahan pengawet, bahkan daging berasaskan tumbuhan.
“Jika definisi tidak mengambil kira nutrien, produk tenusu seperti keju, yogurt dan susu berperisa akan disamakan dengan minuman ringan serta gula-gula,” kata Naib Presiden Persatuan Makanan Tenusu Antarabangsa, Roberta Wagner.
Industri makanan bernilai AS$2.6 trilion (RM10.9 trilion) kini giat melobi Rumah Putih untuk mengelakkan produk mereka dilabel sebagai ultra-proses, kerana bimbang akan menjejaskan permintaan.
Syarikat yang menghasilkan makanan dengan pemprosesan minimum dan tanpa bahan sintetik pula melihat langkah itu sebagai peluang baharu.
Misalnya, Kumpulan Food Integrity Collective memperkenalkan program perintis ‘Non-UPF Verified’, yang akan meletakkan label khas pada produk bukan ultraproses, dengan lebih 200 syarikat dalam senarai menunggu.
Cadangan kerajaan itu juga dijangka mempengaruhi garis panduan diet rasmi AS yang akan dikemas kini pada 2025, termasuk program makanan sekolah, antara sebab mengapa industri makanan berusaha mempengaruhi takrifan yang bakal digubal.- BLOOMBERG











