Hubungan pemimpin PKR dan UMNO punca keruntuhan MN

Hubungan pemimpin PKR dan UMNO punca keruntuhan MN

MOHD. ZUHDI MARZUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hubungan erat antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa menjadi punca keruntuhan Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan Pas.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, sejak kebelakangan ini Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membangkitkan kembali punca keruntuhan MN kononnya disebabkan Pas yang menikam UMNO dari belakang. 

Sebaliknya kata beliau, semua pihak termasuk Asyraf Wajdi sendiri perlu menyedari bahawa komplot antara Anwar dan Ahmad Zahid untuk menumbangkan kerajaan bersama Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekali gus menjadi punca keretakan MN.

“Surat Presiden UMNO kepada Yang di-Pertuan Agung telah terbocor, iaitu membuat perakuan untuk memberi mandat kepada Anwar menjadi Perdana Menteri. Sebenarnya, tindakan seperti ini yang boleh disebut benar-benar menikam rakan daripada belakang.

“Setakat ingatan saya, Pas tidak bertindak gopoh apabila Presiden UMNO menikam Pas dan Bersatu dari belakang. Di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN, Pas tidak bertindak menyerang UMNO berhubung dengan tindakan Presiden mereka. 

“Wakil-wakil Pas hanya menyentuh perkara ini seperti angin lalu sahaja di dalam mesyuarat, demi untuk tidak mengeruhkan lagi situasi yang sudah sedia berkeladak ketika itu. Jawatankuasa Induk MN memberi fokus untuk membaiki kerosakan yang timbul ekoran daripada surat Presiden UMNO yang terbocor,” katanya dalam Facebook beliau.

Namun Mohd. Zuhdi berkata, beliau mengakui bahawa terdapat kekhilatan atau perbezaan antara UMNO dan Pas sepanjang hubungan kedua-dua parti itu dalam MN antaranya Pas secara senyap-senyap menyertai Bersatu mendaftarkan Perikatan Nasional (PN) secara rasmi.

“UMNO dilihat benar-benar kecewa dengan tindakan Pas tersebut, tetapi kemelut ini akhirnya berjaya diselesaikan secara harmoni di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN. Peranan yang dimainkan oleh Jawatankuasa Induk MN itu benar-benar berkesan,” katanya.

Mohd. Zuhdi kemudian mendakwa pihak yang paling berharap MN akan berkubur ialah Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR. 

“Jika demikian, apa cara yang boleh dilakukan oleh PH untuk menguburkan MN? PH tidak boleh mendekati Pas untuk menjadi aktor membunuh MN, kerana perseteruan Pas dan PH yang sangat tajam. 

“PH tidak boleh gunakan Bersatu untuk membunuh MN kerana Bersatu bukanlah anggota MN pada ketika itu. Pihak mana dan siapakah yang boleh ditunggangi oleh PH untuk menjayakan misi mereka? Saya yakin pembaca sudah tahu jawapannya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×