TAIPEI: Kerajaan Taiwan mengumumkan langkah terbaharu bagi menangani kadar kelahiran rendah dengan memperkenalkan skim subsidi untuk menggalakkan pasangan menambah bilangan anak.
Kabinet Taiwan kelmarin meluluskan pembayaran tunai standard kepada setiap keluarga yang menerima cahaya mata serta menanggung sebahagian besar kos rawatan kesuburan, lapor Focus Taiwan.
Di bawah pelan baharu itu, setiap keluarga akan menerima bayaran tunai AS$3,320 (RM13,970) bagi setiap kelahiran, manakala pasangan yang menimang cahaya mata kembar layak menerima hampir AS$7,000 (RM29,453).
Langkah tersebut diumumkan selepas Taiwan secara rasmi memasuki fasa masyarakat super tua pada tahun ini, apabila lebih 20 peratus daripada penduduknya berusia 65 tahun ke atas.
Negara pulau itu mencatatkan kadar kelahiran antara terendah di dunia dengan kadar kesuburan keseluruhan hanya 0.87 pada 2022, menurut laporan CNN.
Sebagai perbandingan, kadar kesuburan 2.1 anak diperlukan untuk mengekalkan tahap populasi semasa.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Taiwan, kadar kelahiran menurun selama sembilan tahun berturut-turut sehingga 2024 dan skim baharu itu turut meliputi bantuan kepada pasangan yang menghadapi masalah kesuburan.
Wanita berusia 39 tahun ke bawah layak menerima subsidi bagi enam percubaan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF), manakala mereka berusia 39 hingga 45 tahun pula layak menerima subsidi untuk tiga percubaan pertama.
Bagi isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana, bantuan hampir AS$5,000 (RM21,040) akan diberikan bagi setiap percubaan IVF.
Menteri Tanpa Portfolio, Chen Shih-chung berkata, subsidi berkenaan dijangka membantu lebih 120,000 keluarga di seluruh Taiwan.
Negara lain di rantau itu turut melaksanakan dasar serupa di mana Ibu bapa di Hong Kong menerima lebih AS$2,500 (RM10,520) bagi setiap kelahiran, manakala di Korea Selatan, kerajaan menawarkan lebih AS$2,200 (RM9,257) kepada pasangan yang mempunyai dua anak atau lebih.
Dasar baharu Taiwan itu dijangka berkuat kuasa mulai Januari 2026.- AGENSI











