Taliban haramkan buku penulisan wanita di universiti Afghanistan

Taliban haramkan buku penulisan wanita di universiti Afghanistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Kerajaan Taliban di Afghanistan mengeluarkan arahan baharu yang melarang penggunaan buku hasil tulisan wanita dalam sistem pengajian universiti, selain mengharamkan pengajaran mengenai hak asasi manusia dan gangguan seksual.

Menurut laporan, sebanyak 140 buku tulisan wanita termasuk judul Safety in the Chemical Laboratory dikenal pasti sebagai ‘bermasalah’ kerana dianggap bertentangan dengan syariah dan dasar Taliban.

Secara keseluruhan, 680 buku dikeluarkan daripada senarai bahan pengajaran.

Selain itu, pihak universiti juga diarahkan supaya tidak lagi mengajar 18 subjek, dengan seorang pegawai Taliban menjelaskan kursus berkenaan bertentangan dengan prinsip syariah dan dasar sistem.

Larangan itu menambah kepada rangkaian sekatan yang diperkenalkan sejak Taliban kembali berkuasa empat tahun lalu.

Hanya minggu ini, internet jalur lebar gentian optik turut diharamkan di sekurang-kurangnya 10 wilayah, dengan alasan mahu mengekang perbuatan tidak bermoral.

Golongan wanita sekali lagi menjadi kumpulan paling terkesan, dengan sebelum ini sudah disekat daripada melanjutkan pelajaran selepas peringkat darjah enam, selain laluan ke bidang latihan tambahan seperti kursus perbidanan ditutup pada akhir 2024.

Kini, subjek khusus mengenai wanita di universiti juga dihapuskan dengan enam daripada 18 kursus yang dilarang ialah berkaitan wanita, antaranya Jantina dan Pembangunan, Peranan Wanita dalam Komunikasi dan Sosiologi Wanita.

Walaupun Taliban berulang kali mendakwa mereka menghormati hak wanita selaras dengan budaya Afghanistan dan undang-undang Islam versi mereka, hakikatnya langkah baharu itu menutup terus ruang penglibatan wanita dalam bidang akademik.

Seorang anggota jawatankuasa penilai buku mengesahkan larangan itu kepada BBC Afghan, dengan menyatakan bahawa semua buku yang ditulis oleh wanita tidak dibenarkan diajar.

Zakia Adeli, bekas timbalan menteri keadilan sebelum Taliban kembali berkuasa yang turut mendapati bukunya berada dalam senarai larangan berkata beliau tidak terkejut dengan langkah ini.

“Melihat kepada apa yang Taliban lakukan sepanjang empat tahun kebelakangan ini, tidak mengejutkan jika mereka akhirnya mengubah silibus secara menyeluruh,” katanya. -BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×