Perlu tindakan konkrit hentikan keganasan Israel

Perlu tindakan konkrit hentikan keganasan Israel

PENGEBOMAN di Doha dan pencerobohan di Tunisia membuktikan Israel tidak lagi menghormati sempadan, kedaulatan mahupun undang-undang antarabangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGEBOMAN yang dilakukan Israel ke atas ibu kota Doha pada 9 September lalu membuka lembaran hitam baharu dalam konflik yang berlarutan di Asia Barat.

Dalam tempoh hanya tiga hari, Israel menggempur enam negara iaitu Gaza, Lubnan, Yaman, Syria, Tunisia dan Qatar, di samping melakukan operasi harian di Tebing Barat.

Realiti ini seharusnya menyedarkan komuniti antarabangsa supaya tidak lagi berdiam diri.

Membiarkan status quo hanya akan menguatkan keyakinan Israel bebas bertindak tanpa batasan.

Walaupun resolusi kerap diveto oleh sekutu Israel, tekanan global melalui Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) boleh menjadi saluran alternatif. Resolusi yang dibawa Qatar, Tunisia bersama blok Liga Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) boleh memperkukuh pendirian antarabangsa terhadap pencabulan Israel.

Selain itu, Qatar dan Tunisia wajar memulakan prosiding di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk mendapatkan pendapat dan nasihat berkenaan kesahihan serangan ketenteraan luar wilayah atau perlindungan undang-undang terhadap misi kemanusiaan mahupun diplomatik.

Tunisia juga boleh merujuk kes serangan dron untuk siasatan rasmi ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), manakala pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mangsa boleh menghantar komunikasi rasmi kepada pendakwa ICC.

Di samping itu, Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) boleh meminta menubuhkan misi pencarian fakta atau melantik pelapor khas bagi menyiasat pencabulan terhadap misi kemanusiaan.

Tindakan serantau dan dua hala perlu digerakkan segera. Negara-negara Arab sepatutnya menangguhkan hubungan diplomatik atau perjanjian dengan Israel, menyelaraskan sekatan serta larangan perjalanan terhadap individu yang bertanggungjawab dan melancarkan tindakan sivil di mahkamah domestik mahupun antarabangsa.

Langkah-langkah ini akan menghantar mesej tegas Israel tidak boleh lagi menikmati kekebalan undang-undang.

Selari dengan itu, masyarakat sivil global berperanan penting untuk teruskan boikot. Colombia melarang eksport arang batu ke Israel sementara Tukiye menghentikan semua hubungan perdagangan serta menutup pelabuhan dan ruang udara. Slovenia dan Sepanyol pula mengumumkan embargo senjata.

Di Eropah, krisis politik tercetus apabila Kabinet Belanda gagal mencapai persetujuan mengenai sekatan terhadap Israel, sehingga lima menteri utama meletakkan jawatan.

Ini membuktikan tekanan ekonomi mampu menggoncang rejim zalim. Pendekatan yang sama perlu digerakkan terhadap Israel.

Pengeboman di Doha dan pencerobohan di Tunisia membuktikan Israel tidak lagi menghormati sempadan, kedaulatan mahupun undang-undang antarabangsa. Jika komuniti antarabangsa terus gagal bertindak, undang-undang antarabangsa akan tinggal sekadar retorik.

Kini tiba masanya tindakan konkrit diambil. PBB mesti dipaksa mengadakan persidangan tergempar, ICJ mesti dirujuk, ICC mesti diaktifkan, UNHRC mesti memperluas siasatan dan rakyat dunia mesti menguatkan tekanan melalui boikot dan bantahan berterusan.-UTUSAN

BADLISHAH SHAM BAHARIN
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×