PETALING JAYA: Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (Pro-Net), anak syarikat Proton mencatatkan jumlah penghantaran sebanyak 5,811 unit e.MAS 7 dari 1 Januari hingga 31 Ogos, merangkumi 5,455 unit jualan tempatan dan 356 unit dieksport ke empat pasaran antarabangsa.
Dengan pencapaian itu, e.MAS 7 kini menjadi kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia selama lapan bulan berturut-turut, mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran sejak awal tahun.
Berdasarkan data pendaftaran terkini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), model itu terus menguasai pasaran sehingga separuh kedua 2025, dengan 5,455 unit didaftarkan pada bulan Ogos dan jumlah keseluruhan setakat ini mencecah 5,811 unit.
Dengan pegangan pasaran sebanyak 24 peratus, hampir satu daripada setiap empat EV yang terjual di Malaysia adalah e.MAS 7.
Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, e.MAS 7 dibangunkan sebagai kereta untuk rakyat Malaysia dan pihaknya sentiasa mendengar maklum balas pelanggan untuk terus menambah baiknya.
“Hal ini dapat dilihat melalui pelancaran varian baharu Proton e.MAS 7 pada awal Julai lalu, yang memperkenalkan kemas kini over-the-air serta pilihan warna luaran dan rekaan dalaman baharu.
“Setiap pencapaian yang diraih adalah hasil daripada kepercayaan anda dan kami tetap komited memberikan nilai tambah yang berkekalan serta terus menambah baik pengalaman pemilikan untuk semua rakyat Malaysia
“Kami amat berterima kasih kepada semua pemilik Proton e.MAS 7 atas kepercayaan dan sokongan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Pada Ogos lalu, satu pencapaian penting dicapai dengan perasmian rasmi kilang EV pertama Proton di Tanjung Malim.
Sejak diperkenalkan, Proton e.MAS 7 telah dipasarkan sebagai model kenderaan import sepenuhnya (CBU) dari China bagi memenuhi permintaan awal.
Dengan kemudahan baharu yang sudahpun mula beroperasi, e.MAS 7 akan beralih kepada pemasangan tempatan (CKD) dalam masa terdekat, sekali gus mencatat sejarah sebagai kenderaan elektrik pertama Proton yang dipasang di Malaysia.
Sementara itu, kilang baharu yang terletak di dalam Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) mempunyai kapasiti sebanyak 20,000 kenderaan setahun dengan keupayaan untuk ditingkatkan sehingga 45,000 unit apabila permintaan meningkat.
Pemasangan tempatan ini akan memperkukuh peranan Pro-Net dalam membangunkan ekosistem EV Malaysia dengan meningkatkan aksesibiliti, mewujudkan peluang pekerjaan serta menggalakkan penglibatan lebih besar daripada vendor tempatan dalam rantaian bekalan.
Selain itu, langkah itu turut mencerminkan aspirasi Kerajaan untuk menjadikan Tanjung Malim sebagai hab EV Malaysia.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pengeluaran EV Proton pada harga berdaya saing menjelang Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober 2025. – UTUSAN










