PETALING JAYA: Pemotongan kadar faedah sebanyak 25 mata asas oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) pada Rabu dijangka tidak memberi kesan langsung terhadap dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM), kata penganalisis.
Profesor ekonomi Sunway University, Dr. Yeah Kim Leng berkata, pergerakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) lebih banyak bergantung kepada faktor domestik berbanding pengaruh luaran.
“Selagi ekonomi negara kekal stabil dengan pertumbuhan yang berterusan, BNM tidak akan mengubah dasar monetarinya berkaitan OPR.
“Memang ada ruang untuk pemotongan kadar faedah, namun ia hanya akan dipertimbangkan sekiranya ekonomi memerlukan rangsangan. Saya berpendapat keputusan Fed tidak akan memberi kesan langsung terhadap dasar ekonomi Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada Rabu, Fed mengurangkan kadar faedah utamanya sebanyak suku mata kepada julat antara 4.00 hingga 4.25 peratus.
Tindakan itu dibuat susulan kelembapan pasaran buruh yang membantutkan pertumbuhan ekonomi.
Ini merupakan pemotongan pertama sejak Disember tahun lalu dan Fed turut mengunjurkan dua lagi pemotongan akan dilakukan tahun ini berikutan kebimbangan mengenai ketahanan pasaran buruh negara itu.
Mengulas mengenai unjuran pemotongan dua kali lagi kadar faedah oleh Fed, Kim Leng berkata, perkara tersebut sudah tentu akan memberi impak kepada ekonomi negara tersebut, sekali gus mempengaruhi ekonomi global.
“Pemotongan kadar faedah boleh membawa kepada tekanan inflasi di AS yang akhirnya memberi kesan kepada pasaran global,” jelasnya.
Sementara itu, mengenai prestasi ringgit yang menyusut sedikit selepas pengumuman Fed, beliau berkata, keadaan itu tidak membimbangkan kerana ringgit telah menunjukkan pengukuhan sejak kebelakangan ini.
“Malah, ringgit dijangka terus mengukuh seiring langkah Fed menurunkan kadar faedah,” katanya. – UTUSAN










