Bekas pembantu operasi Matrikulasi mengaku terima rasuah kerja baiki tingkap

Bekas pembantu operasi Matrikulasi mengaku terima rasuah kerja baiki tingkap

MOHD. Rizuan Muhamad didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas kesalahan menerima suapan berjumlah RM5,000. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang bekas pembantu operasi didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM5,000 sebagai upah perakuan siap kerja pembaikan di institusi pengajian tinggi berkenaan yang bernilai RM484,580, tiga tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Mohd. Rizuan Muhamad, 42, sejurus pertuduhan pilihan kedua dan ketiga dibacakan.

Berdasarkan kedua-dua kertas pertuduhan, tertuduh sebagai seorang penjawat awam iaitu Pembantu Operasi N11 yang memangku tugas sebagai Pembantu Kemahiran H19 di Kolej Matrikulasi Melaka ketika kejadian telah menerima untuk diri sendiri suatu suapan iaitu wang berjumlah RM5,000 daripada seorang lelaki berusia 43 tahun sebagai dorongan memperakui perakuan siap kerja bagi kerja pembaikan jenang dan tingkap.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sekitar kawasan Kampung Padang, Pokok Mangga dalam daerah Melaka Tengah pada 15 Ogos dan 28 September 2022.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 161 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala peguam Alif Ahmad Tarmizi merayu hukuman denda yang munasabah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan atau lima bulan penjara jika gagal bayar dan memerintahkan telefon bimbit serta pasport dikembalikan kepada tertuduh. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×