Kerajaan perlu teliti pilih pemaju bagi projek berskala besar

Kerajaan perlu teliti pilih pemaju bagi projek berskala besar

JOHARI Abdul Ghani dalam temubual khas Podcast Utama TV3.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam meluluskan mana-mana projek pembangunan semula dengan memastikan hanya pemaju yang berwibawa dan kukuh kewangannya dipilih untuk melaksanakan projek berskala besar.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kredibiliti dan kedudukan kewangan pemaju adalah aspek penting kerana ia menentukan kelancaran projek serta perlindungan hak rakyat yang terlibat.

“Kita kena lihat semua aspek ini supaya undang-undang dapat mengawal segala kemungkinan.

“Jika kerajaan meluluskan pemaju dan projek, tetapi di tengah jalan pemaju itu muflis atau gulung tikar, di mana peranan kerajaan? Sebab itu kita kena berhati-hati,” katanya menerusi Podcast Utama Buletin TV3 hari ini.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pemilihan pemaju juga perlu mengambil kira kemampuan syarikat menyiapkan projek dan memastikan unit yang dibina dapat dijual atau diserahkan kepada penduduk.

“Sebab itu saya selalu tekankan, apa sahaja projek yang hendak dijalankan, pastikan pemaju dan kontraktor yang dipilih ada kredibiliti dan kedudukan kewangan yang kukuh,” katanya.

Johari berkata, kerajaan perlu mengambil kira aspek ini bagi menjaga kepentingan rakyat serta memastikan kestabilan ekonomi dan keyakinan pelabur tetap terjamin.

Katanya, langkah teliti dalam pemilihan pemaju bukan sahaja melindungi rakyat, tetapi juga memastikan projek pembangunan dapat disiapkan mengikut jadual dan mencapai matlamat asal.

“Kegagalan pemaju menyiapkan projek bukan sahaja menjejaskan kediaman penduduk, malah turut memberi kesan kepada kelangsungan hidup mereka.

“Bayaran sewa bulanan yang dijanjikan pun tidak dapat ditunaikan jika pemaju menghadapi masalah kewangan. Penduduk akhirnya menjadi mangsa, hidup mereka terganggu dan kerajaan turut dipersalahkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×