RUU PSB tidak boleh dibuat tergesa-gesa

RUU PSB tidak boleh dibuat tergesa-gesa

JOHARI Abdul Ghani dalam temubual khas Podcast Utama TV3.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa kerana ia memberi impak langsung terhadap masa depan penduduk B40.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan perlu mengambil kira semua aspek kerana pelaksanaan akta itu boleh menyebabkan rakyat kehilangan kediaman mereka sekiranya pemaju gagal menyiapkan projek.

“Apabila kita bercakap tentang URA (RUU PSB) ini, ia tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa. Jika ia diluluskan di Parlimen secara terburu-buru.

“Sekiranya timbul sebarang masalah, rakyat akan menjadi mangsa. Ini bukan isu kecil kerana melibatkan tempat tinggal, kos sara hidup dan masa depan mereka,” katanya menerusi Podcast Utama Buletin TV3 hari ini.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi memberi contoh projek Flat Tun Razak yang terbengkalai sejak 16 tahun lalu sehingga penduduk yang dipindahkan masih belum kembali ke rumah asal.

“Kita jangan ulang kesilapan lama. Sebaiknya kerajaan selesaikan dahulu isu Kampung Sungai Baru dan Flat Tun Razak sebelum menjadikan pengalaman itu sebagai panduan untuk menggubal RUU PSB,” katanya.

Johari berkata, golongan B40 paling terkesan kerana perlu menanggung kos penempatan sementara yang tinggi sehingga mencecah kira-kira RM5,000 hingga RM10,000 sebulan.

“Kalau pemaju bankrap (muflis), penduduk yang sepatutnya mempunyai rumah boleh menjadi setinggan. Ini risiko perlu dielakkan,” jelasnya.

Kata beliau, pengalaman lalu harus dijadikan pengajaran supaya RUU PSB dapat dilaksanakan dengan lebih terancang dan memberi manfaat sebenar kepada rakyat. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×