KUALA LUMPUR: Kerajaan komited mencapai sasaran 30 peratus sumbangan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sektor ekonomi digital menjelang 2030, selaras usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju teknologi di rantau ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya mengakui pelbagai usaha perlu dilakukan bagi mencapai sasaran tersebut.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menetapkan sasaran sumbangan ekonomi digital kepada KDNK sebanyak 25.5 peratus bagi tahun ini dan kami menyasarkan peningkatan kepada 30 peratus menjelang 2030.
“Saya yakin sasaran ini boleh dicapai, walaupun masih banyak kerja yang perlu dilakukan. Namun begitu, Kementerian Digital komited untuk merealisasikannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Digital Xceleration (MDEC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Persidangan selama tiga hari anjuran MDEC dengan kerjasama strategik Synapze Sdn. Bhd. itu mengetengahkan tema ‘Catalysing Malaysia’s Trillion-Dollar Digital Future’ dan mempamerkan kejayaan terkini dalam kemunculan teknologi, transformasi digital serta inovasi.
Ia menjelaskan bagaimana ASEAN dengan ekonomi digital yang dijangka mencecah AS$1 trilion (RM4.19 trilion) menjelang 2030, boleh memanfaatkan kepimpinan Malaysia untuk menjadi kuasa digital global.
Pada majlis yang sama, turut diadakan penyampaian Geran Pecutan Digital Malaysia – Kecerdasan Buatan (MDAG-AI) kepada 13 syarikat penerima bagi menyokong syarikat Malaysia Digital mempercepatkan pembangunan dan penggunaan penyelesaian dipacu kecerdasan buatan (AI) dengan potensi pengkomersialan tinggi.
Di bawah MDAG‐AI yang diperkenalkan pada Julai lalu, syarikat yang layak boleh memohon untuk pembiayaan meliputi sehingga 70 peratus daripada jumlah kos projek, dihadkan kepada RM2 juta untuk projek berjalan sehingga setahun.
Selain itu, Gobind berkata, kerajaan perlu memastikan infrastruktur yang diperlukan tersedia agar teknologi baharu dapat digunakan secara efektif.
“Kementerian telah memfokuskan pelaburan dalam pembangunan pusat data untuk memastikan negara mempunyai kapasiti pengkomputeran yang mencukupi bagi membangunkan solusi berasaskan AI,” katanya.
Beliau berkata, kementerian juga menitikberatkan pentingnya digitalisasi dan pengurusan data, yang menjadi asas kepada penggunaan teknologi AI secara meluas dan berkesan.
“Fokus utama Malaysia adalah memperkukuh ekosistem digital domestik untuk menarik pelaburan jangka panjang dan memastikan kelangsungan pembangunan teknologi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, Sidang Kemuncak MDX 2025 bukan sekadar pameran teknologi, sebaliknya merupakan satu platform untuk mengambil tindakan.
“Dengan menghubungkan inovator global, bakat tempatan, pelabur dan penggubal dasar, kami sedang membina perkongsian yang akan memacu ekonomi digital Malaysia ke hadapan,” ujarnya.
Lebih 5,000 peserta dijangka menghadiri Sidang Kemuncak MDX 2025, termasuk usahawan, pelabur, pemimpin korporat, persatuan perdagangan dan profesional digital. – UTUSAN










